KURSUS INTENSIF
PENGGERAK BRIGED BAKTI MALAYSIA
Bergambar bersama Dato' Dr Razak selaku pengerusi BB Malaysia (berbaju ungu)


KURSUS yang berlangsung selama 3 hari ini diadakan di D’Ark Taman Sri Kasih, Seremban Negeri Sembilan bermula pada 8 Mei yang lalu. ABIM Negeri Sembilan dengan kerjasama ABIM Pusat sebagai penganjur utama telah menggabungkan peserta dari Zon Tengah dan Zon Utara sebagai persediaan awal kepada penubuhan badan sukarela ini di peringkat kebangsaan.
Sdr. Jufitri Joha selaku Penyelaras kursus, telah dibantu oleh Encik Che Yob Mahamood (Penyelaras Briged Bakti Negeri Kelantan-Sekolah Menengah) bersama-sama dengan pasukan Briged Bakti Kelantan dan juga “Ayah Aji” menjadikan program ini berjalan dalam suasana ukhuwah dan berdisplin. Antara wakil-wakil negeri yang hadir adalah dari Melaka, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perlis dan Negeri Sembilan selaku tuan rumah.

Pelbagai latihan didedahkan seperti kepimpinan, asas kawad, asas perkhemahan dan asas bantuan kecemasan serta pengisian rohani bagi memahir dan memantapkan peserta terhadap kerja-kerja kesukarelawanan.

Kawad kaki antara latihan yang dedahkan kepada peserta dan memberi banyak manifestasi didalamnya

Briged Bakti disifatkan sebagai Pertubuhan Sukarelawan Islam pertama yang memenuhi segala keperluan dan ilmu berkaitan kerja-kerja kemasyarakatan yang tuntas. Secara ringkasnya, pertubuhan ini dibangunkan supaya mampu membantu masyarakat menguruskan kehidupan dan kematian yang tidak dimiliki oleh kebanyakan badan sukarela. Berikutan situasi semasa dengan pelbagai masalah dan isu kemasyarakatan yang semakin berleluasa, badan ini dilihat sebagai produk penyelesaian yang terbaik terutamanya melalui penglibatan generasi belia.

Pertubuhan ini akan dibuka penyertaannya kepada pelajar sekolah dan masyarakat awam tetapi tumpuan awal adalah untuk menubuhkannya di peringkat sekolah-sekolah seluruh negara.

Apabila Allah S.W.T. menegur
orang-orang yang beriman

38.
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berjuang di jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

39.
Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agamanya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

40.
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah Engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

41.
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

42.
Kalau apa yang Engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang mudah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat Yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).
(Surah Al-Taubah: 38-42)


Ayat yang "direct to the point" boleh difahami tanpa tafsiran kitab-kitab yang hebat, Wallahua’lam.

petikan: wiraislam.blogspot

MESYUARAT AGUNG KBI KAWASAN NEGERI PERLIS
Antara sahabat-sahabat koperasi yang hadir
Kangar -5 April.

Mesyuarat Agung Kawasan telah selamat berlangsung. Majlis diadakan di Bilik Mesyuarat Jabatan Belia dan Sukan Negeri ; dirasmikan oleh Sdr. Nor Mokhles Sahid selaku Setiausaha KBI Pusat. Beliau dibantu wakil KBI Pusat, Sdr. Baharuddin membentangkan laporan dan prestasi KBI diperingkat negeri dan pusat. Perkembangan terbaru KBI mempromosikan produk Skim Pelaburan Emas yang semakin popular mutakhir ini dikalangan masyarakat Islam dan bukan Islam. Memandangkan ekonomi dunia sedang dilanda ketidaktentuan, KBI memfokuskan untuk lebih agresif mengajak ahli-ahli khususnya menyertai skim takaful dan pasaran emas yang kurang risiko ini. Walaupun begitu produk-produk turut tidak ketinggalan dipasarkan sekurang-kurangnya disedari oleh ahli.

Dalam masa terdekat juga KBI merancang untuk mewujudkan agen-agen takaful di setiap negeri yang akan dilaksanakan secara online tanpa memerlukan banyak kos operasi. Sdr. Najid Omar yang juga pengerusi KBI Negeri mengambil perhatian cadangan tersebut bagi membantu ABIM Negeri menjana kewangan. Sekretariat negeri boleh mengambil peranan tersebut di premis yang sedia ada. Semoga ianya dapat direalisasikan dengan kadar segera, Insya Allah.

- Terkini masyarakat Yahudi adalah yang teramai menyertai pasaran emas ini kerana menyedari ianya adalah produk kewangan yang paling stabil sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Walaupun merekalah yang mencipta pelbagai isme-isme pemikiran baik politik dan ekonomi dunia, hakikatnya mereka mengakui kestabilan ekonomi Islam, hatta Al-Quran & Sunnah itu sendiri!


SIAPA KITA ?

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan...

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya. ..

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka..



Sama-samalah kita bermuhasabah diri..


URUSKAN MASA & RINGKASKAN TUGAS



Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya, "

Demikian wasiat Hasan al-Banna yang terakhir.
Kepada setiap pendakwah atau seorang Islam yang sejati, masanya sangat penting.


Mereka harus waspada selalu dengan penggunaan masa. Masa yang tidak digunakan dengan teliti akan menyebabkan kita akan menyesal tanpa kesudahan.Ini kerana, masa yang sudah terlepas itu tidak boleh diganti lagi. Pepatah Melayu ada menyatakan, patah tumbuh hilang berganti. Tetapi, bidalan itu merujuk kepada seseorang pemimpin yang telah mati atau barang hilang yang mungkin boleh ditemukan semula atau sesuatu yang hilang dan boleh digantikan semula. Yang tak boleh digantikan semula ialah waktu, saat, detik, dan masa. Oleh kerana masa ini sangat penting, maka setiap bangsa punya peraturan, falsafah dan pepatah yang lengkap tentang kepenggunaan waktu.


Antara bangsa Asia, kita selalu mendengar bahawa bangsa Jepun menghargai waktu. Bagaimanapun mereka maju di dunia kerana falsafah penggunaan masa itu hanya sekadar untuk memenuhi keperluan di dunia. Sedangkan, Islam menyeru umatnya agar mengguna masanya guna memenuhi keperluan di dunia dan keperluan di akhirat. Pepatah Melayu menyebutkan bahawa masa itu emas. Malah emas, perak dan intan berlian sekali pun belum dapat menandingi harga emas. Kalau emas itu hilang, maka emas itu boleh dicari semula atau pun diganti dengan wang, tanah atau apa-apa pun yang ada harganya. Itulah kayu ukur yang menandakan masa itu sangat berharga. Iaitu, jika masa telah berlalu, maka tiada suatu kuasa apa pun yang dapat menggantikannya atau mengembalikannya. Tapi, jika emas hilang, nescaya ada seribu satu jalan, kuasa yang dapat berikhtiar menggantikannya.


Waktu tidak boleh dicipta, malah alam ini tercipta oleh peredaran waktu. Tuhan menyebut bahawa alam ini tercipta dalam enam masa. Masa cuma boleh dinamakan, dipenggal, dipecahkan, dipotong sebagai hari, minggu bulan serta dinamakan Ahad, Isnin dan sebagainya. Jika ada keperluan untuk amalan rohani gelap, maka ia dinamakan Keliwon mengikut lidah Jawa.


Masa itu tidak boleh direkabentuk seperti benda-benda yang boleh dipegang. Setiap yang boleh dipegang boleh dipatahkan dengan benda lain. Pokok yang dipatahkan rantingnya boleh tumbuh semula. Kerana itu, manusia boleh berkata, yang patah itu boleh tumbuh dan yang hilang boleh berganti. Ini kerana, patah dan tumbuh itu sifat benda dan bukan sifat masa. Malah, masa itu boleh mengancam manusia. Saidina Ali berkata, "Masa itu umpama pedang. jika kamu tidak 'memenggalnya' , nescaya ia akan 'memenggal' lehermu."


Sebenarnya yang menyebabkan masa itu berharga ialah disebabkan adanya kerja, tugas, amanah yang perlu disiapkan semasa waktu itu sedang berjalan. Jika bukan kerana itu, maka masa itu tidak berharga. Misalnya, dengan peredaran masa, pokok perlu membesar dan ia dijual dengan masa tertentu. Sebab itulah masa untuk menunggu pokok itu membesar amat berharga.


Dalam hal ini masa disalahgunakan dalam perniagaan yang melibatkan riba. Sekiranya kita tidak dapat melunaskan hutang dalam tempoh waktu tertentu, maka bunga (riba) akan naik. Demikianlah masa disalahgunakan dalam 'industri' riba.


Maka Hasan al-Banna telah memulakan wasiatnya dengan menggunakan ungkapan 'kewajipan kita' yang bermaksud usaha dakwah kepada umat ini. Kewajipan usaha dakwah ini ada pertalian yang amat erat dengan penggunaan waktu.

Masa makin singkat dan suntuk!


Tetapi jumlah usaha dakwah itu terlalu banyak jika dibandingkan dengan jumlah peruntukan waktu yang kita ada. Di dalam peruntukan 24 jam sehari semalam, kita mungkin memerlukan 48 bentuk dan 72 jenis dakwah. Dalam kata lain, kita mungkin perlukan 2 atau 3 kali ganda program dakwah atau lebih daripada itu dalam tempoh 24 jam. Itu maksud Hasan al-Banna; jumlah usaha dakwah perlu digembeling dalam jumlah waktu yang sungguh singkat. Masa seperti semakin pendek apabila terlalu banyak urusan dakwah yang perlu dibereskan.


...Pergerakan jarum jam kelihatan perlahan,
sebenarnya itu jarak ketinggalan kita dengan MASA !
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda,
"Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat,
maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu
dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam
dan satu jam dirasakan seperti satu percikan api."
(Hadis riwayat at-Tirmizi)


Hasan al-Banna, ketika menyusun wasiatnya, beliau mungkin terkesan dengan sabda Rasulullah s.a.w ini. Bilangan manusia yang ingin melakukan perubahan ke arah kebaikan dan islah sangat kurang berbanding manusia jahat yang memperuntuk masa dan hartanya ke arah kemusnahan dunia dan tamadun ini. Oleh itu bayangkanlah bagaimana keadaannya ketika kerja dakwah makin banyak menimbun ini terpikul atas bahu segelintir pendakwah sahaja yang inginkan kedamaian, kesejahteraan, kebaikan dan ketenangan di dunia dan akhirat.



Bantu manusia menguruskan waktunya


Barangkali.. lantaran terkesan dengan semua inilah, maka Hassan al Banna memulakan usaha dakwah di kedai-kedai makanan dan kedai-kedai kopi dan bukannya di masjid. Beliau benar-benar mahukan insan berpeleseran tanpa tujuan ini akhirnya akan faham matlamat hidupnya. Apabila manusia itu mula faham akan falsafah dan matlamat hidup, maka akan wujud manusia yang akan menggunakan masanya dengan betul, baik dan sempurna.Manusia yang telah mula dibangunkan kesedarannya ini akan tertanya-tanya pula tentang bagaimana seharusnya mereka mahu memanfaatkan waktunya di dunia ini sementara menunggu waktu di akhirat kelak.


Maka.. di sini Al-Banna menyarankan pendakwah agar membantu mereka yang telah terbuka hatinya untuk memahami bagaimana mereka perlu memanfaatkan waktunya untuk beribadah sementara menunggu waktu dihisab di akhirat kelak."Oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan kalau saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya, " demikian pesan al-Banna lagi.


Orang yang telah dilembutkan hatinya dan dilunakkan jiwanya sentiasa tertanya-tanya mengenai apakah amalan yang harus dilakukan guna mencapai redha ilahi. Soalan semacam ini kerap hinggap di ranting pertanyaan sahabat dan baginda selalu hadir bagi menjawab setiap pertanyaan tersebut.
Ghairahnya para sahabat dalam beramal sehingga mereka kerap bertanya, apakah amalan yang paling baik dan bermacam pula jawapan baginda tergantung kepada keadaan rohani para sahabat itu. Jika dilihatnya sahabat itu menderhakai ibu bapanya maka baginda bersabda, berbuat baiklah kepada ibu bapa. Jika dilihatnya penyoal itu seorang yang panas baran, maka dia menasihatkan orang itu supaya tidak marah-marah.Mereka yang mula lunak kepada agama tidak tahu atau terlupa tentang cara-cara menggunakan masa sebagai yang disaran di dalam al-Quran. Mungkin kerana keterbatasan dalam bahasa Arab, mereka tidak faham mesej dalam surah Al-Muzzammil :


[1]
Hai orang yang berselimut!
[2]
Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam,
kecuali dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
[3]
Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu

[4]
Atau pun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil."

[5]
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu
membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat
kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan
kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah)
yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya) .
[6]
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya
(kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

[7]
(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam),
kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan
yang panjang kira bicaranya.


Orang yang didakwah atau mereka yang baru dinyalakan pencerahan rohani dalam dirinya, selalu hidup pelbagai ragam persoalan dalam hatinya dan menyalalah pula pelbagai rencam pertanyaan yang berwarna-warni dalam dirinya berhubung langkah-langkah awal menuju ke arah kesempurnaan hidupnya sebagai manusia terbaik.

Jadi, bagaimana mereka harus bermula? Jika ada amalan permulaan, maka apakah amalan permulaan itu?
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam
serta kerjakanlah "Sembahyang Tahajjud" padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu
pada akhirat di tempat terpuji."
(Al-Isra': 79)

Adakah insan yang baru merangkak, baru melabuhkan pencarian untuk mendakap pencerahan jiwa serta akal fikirannya dapat menyelami hasrat Tuhan sebagai yang terkandung ayat-ayat al-Qur'an di atas? Mereka perlukan masa untuk dibimbing serta masa perlukan pembimbing yang sabar, teguh hati, kuat pendirian, bijaksana, berhemah tinggi yang kental spiritual.



Ringkaskan amalan untuk membantu saudara lain

Sebab itulah Al-Banna menyarankan anggota Ikhwan Muslimin atau para pendakwah meringkaskan sahaja urusan mereka untuk membantu saudara mereka yang mahu dibangkitkan kesedaran dalam jiwanya.Bagi Al-Banna, amalan peribadi yang bertujuan menolong keperluan peribadi di akhirat, hanya bermanfaat untuk keperluan mereka sahaja. Sedangkan, usaha mengirim ilmu ke dalam dada manusia yang kosong tanpa dihuni hikmah pengetahuan sangat berguna kepada kedua-dua pihak, sama ada pihak pendakwah dan pihak yang didakwah.


Petunjuk agama menyatakan bahawa, jika ada seseorang beramal dengan sebab ajaran kita, maka pahala dengan sebab amalan itu turut mengalir ke dalam 'akaun pahala' kita kelak. Sebab itu, pendakwah perlu meringkaskan dan menyedikitkan ruang untuk keperluan amalan peribadi supaya lebih banyak ruang dapat dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan dan pengajaran ke atas manusia lain yang dahagakan pengetahuan daripada mereka.


Mereka yang berkhalwat, beruzlah, dan bersuluk tanpa berusaha keras menggerakkan nurani manusia untuk mendapat imbuhan pencerahan rohani daripada Tuhan, tidak termasuk dalam jenis manusia pencerahan. Al-Banna, Badiuzzaman Said Nursi, dan lain-lainnya adalah ulamak sufi dan bersuluk di 'gua pertapaan' lalu keluar ke lapangan dalam usaha memerangi amalan khurafat dalam pemerintahan manusia mustakbirin sekali gus menyinari mendung awan hitam yang membalut kegelapan hati manusia mustadh'afin.



(Artikel dipetik daripada Fahri Abdullah AlMasri -Sekolah Pemikiran Kg Baru)

10 PERKARA MEROSAKKAN OTAK


1. Tidak mengambil sarapan pagi-

Apabila seseorang tidak mengambil sarapan pagi, paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan mengakibatkan kekurangan bekalan nutrisi pada otak dan menjadikannya kurang aktif.


2. Terlebih makan-

Ia akan membebankan pembuluh darah otak dan mengurangkan kuasa mental otak.


3. Perokok-

Asap rokok akan mengakibatkan sel-sel otak terjejas atau terbakar dan boleh mengakibatkan penyakit 'Alzheimer'.


4. Penggunaan gula yang berlebihan-

Pengambilan gula secara berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Selain daripada itu, ia akan mengganggu perkembangan otak yang sihat.


5. Pencemaran udara-

Otak adalah pengguna oksigen terbesar dalam badan manusia.Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan keaktifan otak.


6. Terlebih tidur-

Tidur adalah bagus untuk merehatkan otak tetapi masa tidur yang panjang boleh mengakibatkan sel-sel otak kita mati.


7. Menutup muka ketika tidur-

Tidur sambil menutup muka akan mengakibatkan otak menerima lebih banyak karbon dioksida berbanding oksigen dan ini akan membawa kerosakan kepada otak.


8. Membiarkan otak bekerja semasa kita berada di dalam keadaan kurang sihat-

Bekerja semasa anda kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kerosakan kepada sel-sel otak.


9. Kurang berimiginasi-

Berfikir adalah satu cara terbaik untuk melatih otak kita. Kurangnya berimiginasi boleh menyebabkan tahap kecerdasan/keaktifa n otak menurun.


10. Jarang berfikir-

Jarang berfikir akan menyebabkan otak kita kurang aktif. Oleh itu, perbincangan yang membina boleh menambah keberkesanan kecerdasan otak kita.


MUSLIM TANPA SEMANGAT DAKWAH & JIHAD
MUSLIM YANG TIADA JATI DIRI

MENCEGAH kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan termasuk perjuangan menegakkan agama Allah. Umat Islam yang tidak pernah memperjuangkan agama hidup dalam keadaan sia-sia . SEORANG Muslim yang tidak memiliki semangat dakwah dan jihad bagi memperjuangkan agama, sebenarnya sedang mengalami krisis jati diri dan identiti Muslimnya. Untuk apa semua yang diusahakan, harta dikumpul, ilmu dikuasai, jawatan direbut dan dunia yang berhasil digenggam jika tidak dimanfaatkan untuk agama Allah? Seandainya seseorang sudah memiliki segala-galanya kemudian tiba-tiba dia mati tanpa memperjuangkan agama, maka alangkah sedikit bekal dan payahnya kehidupan yang mesti dilalui selepas mati kelak. Sia-sia saja visi dan misi hidupnya di dunia. Saat itu sedarlah ia yang kembali miskin seorang diri di alam barzakh.

...Usaha dakwah adalah tanggungjawab setiap individu muslim


Sesungguhnya kejayaan yang hakiki bermula daripada satu niat meninggikan kalimah Allah. Sedangkan apa yang diusahakannya selama ini untuk dunia semata-mata demi kepuasan nafsu belaka. Kebangkitan Islam sering diperkatakan tetapi realitinya generasi Islam kini sudah mengalami serangan duniawi yang sedikit sebanyak mempengaruhi kejiwaan, pemikiran dan sikap mereka. Mentaliti Muslim yang hilang semangat memperjuangkan agama semakin parah di tengah-tengah umat. Tidak kira golongan mana pun, jika umat meninggalkan dakwah dan jihad di jalan Allah, maka tunggu kehancuran seperti ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud:

“Wahai orang beriman, apakah sebabnya apabila
dikatakan kepadamu: Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah,
kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih suka dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan Dia menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
(Surah al-Taubah, ayat 38-39)


Melalui ayat itu, Allah menyatakan punca hilang semangat dakwah dan jihad iaitu kerana manusia terlalu cintakan kehidupan dunia. Bahkan jika boleh, agama pun akan dijual, saudara sesama Muslim dianiaya, jatuh-menjatuhkan, aib- mengaibkan untuk mendapat apa diinginkan oleh hawa nafsu.
Jika kejahatan bermaharajalela tetapi semangat dakwah dan jihad semakin kendur tidak mustahil kehancuran umat akan terjadi. Dakwah dan jihad adalah benteng paling kukuh untuk melindungi umat daripada serangan musuh. Sepatutnya ia menjadi idealisme yang wajib ditanam dalam jiwa seluruh generasi Muslim.

Sayangnya, dakwah Islam dan semangat jihad hanya dimiliki golongan tertentu yang berkopiah dan berserban, di masjid dan surau. Itupun jika tepat ruang yang disalurkan. Sedangkan golongan profesional, pemikir, penggubal dasar, penggerak politik, budayawan, seniman, ahli sukan, saintis, peniaga, pendidik Muslim, mereka agak kurang bersemangat mengenai hakikat dakwah dan jihad. Peranan ulama diharapkan boleh membuka ruang kepada mereka untuk memahami Islam, mencintai dan merasa terpanggil memperjuangkan agama menurut kapasiti ilmu dan kekuatan dimiliki. Umat Islam mesti kembali menanamkan idealisme tegakkan dakwah dan jihad dalam kehidupan. Hapuskan kesilapan lalu dan bertaubat daripada kejahatan nafsu duniawi yang menipu. Kerja dakwah serta strategi jihad mesti disesuaikan dengan situasi dan realiti masyarakat sekarang. Media memainkan peranan penting sebagai penyampai kebenaran, hiburan dan seni juga menjadi pilihan orang yang mahukan kelainan dalam sentuhan dakwah, alam maya dalam sistem teknologi maklumat tercanggih yang semakin digilai manusia menjadi alternatif menyampaikan keindahan Islam.

Ulama tidak ketinggalan mengkaji pendekatan dan pengurusan dakwah yang sesuai untuk manusia pada zaman siber. Pendekatan fleksibel, mendidik sebelum menghukum, mendengar suara umat dan mengkaji perubahan zaman sebelum memutuskan fatwa diharap membawa kemajuan adalah tugas ulama yang amanah. Ulama berdiri sebagai pembimbing jalan, pemberi jawapan atas setiap persoalan, doktor yang menyembuh penyakit jiwa masyarakat dan penyampai keindahan Islam yang membangkitkan umatnya supaya mencintai agama. Ulama memerlukan pendedahan ilmu dan wawasan yang lebih global dengan bermuzakarah antara ulama sedunia untuk mempertingkatkan keupayaan dalam mendampingi umat ke jalan yang diredai Allah.

Sesungguhnya dakwah dan jihad adalah panggilan jiwa insan yang mencintai sunnah Rasulullah SAW. Wasiat Baginda SAW sentiasa menjadi ingatan di hati yang bermaksud:

“Sesiapa yang membenci sunnahku bukan termasuk golonganku.”
(Hadis Muttafaq Alaih)
Dakwah dan jihad juga adalah kerjaya nabi dan rasul yang diabadikan dalam al-Quran sebagai jalan hidup terbaik di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud:

“(Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya
dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang beriman.
Wahai orang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah seperti Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikutnya yang setia: Siapakah yang akan menjadi penolongku (untuk menegakkan agama) Allah? Pengikut yang setia itu berkata: Kamilah penolong agama Allah, lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan lain kafir; maka kami berikan kekuatan kepada orang beriman terhadap musuh mereka, lalu mereka menjadi orang yang menang.”
(Surah al-Shaff, ayat 11-14)

Seseorang yang bergiat dalam kerja dakwah pasti menghadapi ujian yang boleh mengancam langkahnya. Ujian yang dipikul bersesuaian dengan tahap keimanan masing-masing. Kadangkala hanya dengan sifat diri yang kurang sabar seseorang boleh terjatuh dan tidak dapat bangkit lagi, walaupun ramai di hadapannya orang yang lebih berat lagi menerima penyeksaan dalam mengharungi medan dakwah dan jihad.


Hanya orang terpilih yang tegak berdiri menunggu keputusan Allah, apakah dia layak menerima pertolongan Allah atau tidak, semuanya bergantung niat dalam hati. Siapakah yang reda dengan hinaan dan cacian, fitnah, kebencian bahkan ancaman bunuh diterima kerana menegakkan agama? Hanya orang yang tegar dan yakin dengan kuasa Allah mampu menghadapi kesusahan di jalan-Nya. Biarlah air mata yang ditumpahkan atas jalan Allah sebagai pemadam api neraka yang menyala dan hati terluka, jasad teraniaya semua itu sebagai bukti kecintaan hamba kepada Allah. Bahkan jika tiada menemui gangguan di jalan dakwah, seseorang patut berwaspada mungkin dia tersalah jalan kerana jalan dakwah itu dapat dikenal melalui seksaan dan tangisannya.

Suatu hari Rasulullah SAW melepas pemergian Muaz Jabal ke Yaman untuk menyebarkan Islam di sana. Rasulullah SAW melihat Muaz menangis. Muaz berkata:
“Wahai Rasulullah, aku menangis kerana akan berpisah denganmu.
Rasulullah SAW bersabda: Jangan kamu bersedih kerana kesedihan itu daripada syaitan. Wahai Muaz, bertakwalah (takut) kepada Allah
di mana pun kamu berada. Ikutilah keburukan dengan kebaikan,
nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya dan berbuat baiklah
kepada manusia dengan akhlak yang baik.”
(Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Suatu hari Khabbab al-Art menghadap Rasulullah SAW dan mengadukan seksaan yang dideritainya dan sahabat. Rasulullah SAW menghibur Khabbab sambil bersabda yang bermaksud:

“Orang sebelum kalian digali sebuah lubang di atas tanah
dan mereka dimasukkan ke dalamnya. Selepas itu diambil gergaji
dan diletakkan ke atas kepalanya sehingga jasadnya terbelah dua.
Namun hal itu tidak menggoyahkan agamanya. Ada juga yang
disikat dengan sikat besi sehingga terlepas daging daripada tulangnya.
Tetapi seksaan itu tidak sedikitpun menggoncangkan agamanya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Hanya hamba Allah yang berkualiti iman dan amalnya sanggup melangkah di jalan dakwah. Mereka orang terpilih daripada kalangan nabi dan rasul, syuhada dan salihin. Dakwah dan jihad adalah harta warisan paling bernilai ditinggalkan mereka hingga akhir zaman untuk generasi Islam berikutnya.


- Dr. Juanda Jaya
Mufti Negeri Perlis
5 Mac 2009