Ingin mendalami ilmu sebagai Sukarelawan Dakwah  ?
SERTAI SEGERA !









"klik"  untuk dapatkan borang penyertaan

Tangkapan Dr Mohd Asri : Suatu Pandangan


BEKAS Mufti Perlis tidak dinafikan mempunyai ramai penyokong dan juga pembenci. Itu sudah tabiat manusia yang amat pelbagai. Kita tidak akan mampu untuk mengelakkan diri dari berbeza pendapat, saya juga banyak berbeza pendapat dengan beliau. Kita juga adakalanya tidak mampu untuk mengelak diri dari dibenci secara tiba-tiba, apatah lagi jika seseorang itu terkenal.

Namun, yang dibimbangi adalah perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan yang dahsyat, sehingga jika diselami hati para pembenci, pasti ada terlihat keinginan yang amat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih dari itu, meninggal dunia. Padahal isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk yang ekstrem dan keras. Memadailah untuk mengemukakan hujjah balas kepada apa yang dirasakan lemah, dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.

BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA & PANDANGAN

Imam Al-Awza'ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :


Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, akau akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )

Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya:


Ertinya: "JIka perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya"[1]

Maka ditanya: Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?

Imam Ahmad menjawab

لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه

Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.[2]

Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan Al-Quran. Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada [3]

a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.

b) Furu' Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.

Justeru, bagi memahami pembahagia n ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita. Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.Yang paling perlu dielakkan adalah, seorang alim melayan debat dengan seorang jahil. Ia sangat membuang waktu dan menyakitkan kepala sahaja. Kerana si jahil tidak akan mampu memahami laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh si alim. Justeru, tindakan terbaik bagi si alim adalah diam.

Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujjah pihak yang lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa juga mengiktiraf bahawa pihak yang lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam. Masing-masing merasakan pendekatan dan ilmu mereka adalah yang lebih tepat untuk membawa kepada keagungan Islam.

Namun jangan terlupa, ruang kesilapan masih boleh wujud di pihak kita. Saya sendiri sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu-isu kewangan dan riba, bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujjahnya, Justeru itu kerap saya katakan kpeada mereka yang sibuk dan marah-marah dengan pandangan saya, "Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk terima atau menolaknya"

Cuma harapan saya, jika menolaknya, tolaknya disebabkan kerana hujjah yang lebih meyakinkan dari mereka yang berkelayakan bukan kerana kita terlibat dalam bisnes itu nescaya mesti nak jadikan ia halal, atau dalam kata lainnya, kerana nafsu sendiri.

TANGKAPAN JAIS: SIAPA UNTUNG?

Memang benar JAIS punyai hak mendakwa sesiapa sahaja yang berceramah tanpa tauliah, itulah yang diarahkan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama di Negeri Selangor.
Namun demikian, saya kira untuk menangkap seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah diiktiraf keilmuannya oleh UIAM sehingga diberi PhD dalam bidang agama, juga oleh Raja Perlis sehingga dilantik menjadi Mufti negeri dan diberi anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Negeri. Tindakan itu boleh dikatakan kurang bijak dan secara tidak langsung memperkecilkan penilaian Raja Perlis, Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak pihak lain yang berautoriti.

Bagi saya isu ini lahir hasil ‘sakit hati' yang datang dari pertembungan kedua-dua belah pihak, penyokong dan penentang Dr Asri di Malaysia. Dr Asri di sebelah pihak yang dikatakan ingin membawa pembaharuan dalam pemikiran agama di Malaysia, manakala sebelah pihak lain adalah mereka yang meyakini sudah cukup dengan cara dan pemikiran agama yang sedia ada, nescaya pertembungan berlaku. Bermula dari sedikit, ia menjadi semakin besar apabila anak-anak murid fanatik menyemarakkan api pertengkaran serta kutuk mengutuk. Tidak terkecuali kedua-dua pihak mempunyai tekong ‘bergaduh' yang hebat, aktif serta dinamik dalam tugas kurang sihat ini.

Saya yakin, penangkapan Dr Asri berpunca dari perkembangan kurang sihat tersebut tadi, ia sangat mudah dibaca dari laman-laman web ‘tekong-tekong gaduh', ya amat pasti dan ia seolah-olah satu open secret bagi kedua-dua pihak. Ketiadaan tauliah hanya dijadikan alat dan cara berselindung di sebalik undang-undang yang sedia ada.

Memorandum Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia boleh memberikan pengesahan berkenaan persengketaan dan perbalahan ini.Namun sebenarnya, siapa yang untung dengan tangkapan ini? Memang benar, untung rugi bukan persoalannya di sini, tapi pastinya yang membenci ingin kononnya mematikan dan menggangu gerakan yang dibawa oleh Dr Asri. Dirasakan cara ini adalah terbaik bagi menakutkan kumpulan itu.Tetapi nampaknya, tangkapan itu menjadi back fire kepada mereka.

Ya benar, saya berasa yakin kini pihak yang tidak menyukai Dr Asri akan merasa tertampar dengan liputan media terhadap isu ini.

Sebagai orang luar dan pemerhati saya lihat, tiada banyak keuntungan diperolehi oleh pihak yang membenci Dr Asri, kerana tangkapan ini hanya menaikkan populariti beliau, malah kalau sebelum ini Dr Asri hanya menceritakan secara peribadi dan agak tertutup berkenaan sokongan pelbagai orang berjawatan besar, ternama dan pelbagai parti politik kepadanya, namun dengan berlakunya hal ini, sokongan tersebut menjadi nyata kepada awam.

Perdana Menteri memberi sokongan, Mursyidul Am PAS,Menteri Agama, Menteri Besar Selangor, Ketua Pemuda UMNO, Dibincang di dalam Parlimen Malaysia Ketua Pemuda PAS, Bekas YDP YADIM, Tajuk besar beberapa buah akhbar perdana, serta ramai dan banyak lagi..

Semua ini membuka lebih besar jalan kepada Dr Asri untuk mendapat samada perhatian, sokongan dan dakwahnya juga akan semakin dekat dan sampai ke hati orang ramai yang baru tertarik untuk membaca blognya, mendengar ucapannya dan sebagainya. Semua ini akibat dari isu penangkapan tersebut.

"Jadi ustaz, siapa yang rugi dan siapa yang untung?" tanya seorang kenalan di UK

"Sudah tentu Dr Asri dan gerakannya, jadi kalau di ketika ini ahli-ahli gerakannya perlu tampil kehadapan dengan lebih aktif untuk menerang dan menjelas, mereka akan mendapat merit yang banyak"
"Namun demikian, mesti disedari, populariti juga boleh ‘membunuh' seseorang ahli agama, rasa ujub, riya dan takbur amat mudah berkembang. Justeru itu dia kena jaga. Kelak nanti setiap lafaz boleh berubah menjadi sombong.

Teguran pula akan sentiasa dibakul sampahkan kerana merasa diri sangat popular dan berpengaruh. Malah ORANG YANG TAK SOKONG pun boleh jadi sokong kerana mula berasa SIMPATI". Tegas saya lagi menjelaskan. Demikian pendapat saya sebagai pemerhati dari luar, ya luar negara.

SUDAH-SUDAHLAH BERBALAH : BERDAMAILAH

Satu lagi, saya amat ingin melihat kedua-dua pihak menambahkan sikap lunak dan lebih bijak. Benar, bijak itu banyak caranya, keras dan garang juga mungkin sahaja tergolong dalam tindakan yang paling bijak dalam keadaan tertentu. Cuma lunak dan lembut adalah lebih digemari oleh Nabi s.a.w berbanding keras dan kasar.

Jangan pula mengatakan:
"Ala dia yang mula mengutuk dan mengecam, kita balaslah, geng dia saman dulu, kita bagilah dia tindakan undang-undang sebagai balasan"

Ini satu sikap yang tergambar hati yang busuk serta tidak matang. Jangan sampai orang melakukan cara ahli neraka, maka sebagai balasan, kita juga ingin menjadi sepertinya. Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat.

Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci.

Ali Abi Talib diriwayatkan berkata:

أقضوا ما كنتم تقضون فإني أكره الإختلاف حتى يكون للناس جماعة

"Putuskanlah hukuman mengikut apa yang telah kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh tersu berada di dalam satu jemaah (Tarikh Baghdad, 8/42)

Ahmad Bin Hanbal berkata :

لا بنبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهبه ولا يشدد عليهم

Ertinya : Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksakannya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai

Benar, perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk. Kerana itulah ulama haraki seperti Imam Hasan Al-Banna menyarankan agar kita maju ke depan dengan tugas dan usaha masing-masing, lalu satu kaedah yang amat baik dari Syeikh Rashid Redha dicadangkan :

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما نختلف فيه

Ertinya : "Kita bekerjasama dalam perkara yang telah kita sepakati, dan saling menguzurkan diri dari perkara yang diperbezakan"

Akhir sekali, HENTIKANLAH berbalah, kutuk mengutuk, fitnah memfitnah dan tangkap menangkap disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang berkelayakan. Ia mencemar imej Islam dan menjatuhkan keyakinan mad'u kita yang sebenar kepada Islam.

Firman Allah :-

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 26 )

Sekian

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP TUNTUTAN BIADAP SIS UNTUK MENGHAPUSKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH


Mohd. Najid Omar mewakili ABIM Negeri Perlis menyerahkan laporan kepada wakil JAIPs, Ustazah Sharifah Mazni Syed Mustaffa di Kompleks tersebut.

KANGAR - Satu memorandum telah dibuat oleh Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Perlis berhubung isu Kartika Sari Dewi Shukarno. Laporan memorandum tersebut telah dihantar baru-baru ini ( 23 Oktober 2009) kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) untuk diberi perhatian dan tindakan lanjut selaku badan berkuasa agama Islam di negeri ini.


Memorandum ini dibuat berikutan tindakan Pertubuhan Sisters in Islam dan Ngo yang bersekutu dengannya berterusan mengeluarkan kenyataan-kenyataan media yang bersifat provokasi bagi menghalang tindakan seorang pesalah untuk meneruskan hukuman sebat berasaskan syariah Islam yang telah diputuskan oleh beliau.

Wakil JAIPs, Ustazah Sharifah Mazni Syed Mustaffa dari Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAIPs telah menerima laporan tersebut yang diserahkan oleh Mohd. Najid Omar selaku Yang diPertua ABIM Negeri Perlis.

“ Sebenarnya laporan seumpama ini telah dibuat oleh ABIM dan rakan-rakan NGO Islam seluruh negara, tetapi ABIM negeri agak terlewat menyerahkannya disebabkan oleh faktor kekangan masa. Bagaimananapun alhamdulillah, hari ini kita telah berjaya menyampaikannya kepada pihak berkuasa dan berharap ianya dipandang serius disusuli tindakan-tindakan yang wajar.”ujar sdr. Mohd Najid ketika diminta mengulas perkara itu.

Latarbelakang isu ini bermula apabila satu kumpulan yang dinamakan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang disertai oleh SIS dan berberapa NGO telah menghantar satu memorandum kepada YAB Perdana Menteri bertajuk Justice For Kartika bertarikh 25 Ogos 2009 yang mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar dimansuhkan Undang-Undang Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri.

“Tindakan kumpulan ini dianggap biadap kerana antara lain cuba menceroboh kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara dan Negeri-Negeri serta perundangan Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan. Mereka juga cuba menyentuh dan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan dan secara tidak langsung telah menghina hukum Syarak yang sedang berkuatkuasa melalui Enakmen-Enakmen Negeri” tambah Mohd. Najid.

Sementara itu, Setiausahanya Mohd. Zamri Mat Alim berharap rakan-rakan NGO Islam yang lain khususnya di negeri ini agar turut sama tampil memberi desakan yang serupa sebagai tanda solidariti dan menyemai kesedaran serta keprihatinan terhadap masyarakat. Tindakan ini perlu dibuat bagi menentang usaha-usaha agresif SIS yang turut sama membentuk kumpulan mereka sendiri selain cuba mempengaruhi kerajaan agar undang-undang syariah dipandang rendah dan dilihat tidak bertamadun.

Saudara Kita memerlukan perhatian:
ZIARAH PRIHATIN KE RUMAH
EN. ADAM LEE ABDULLAH


Tarikh Ziarah: 18/10/09 (Ahad)
Jam: 6 – 7 petang

En. Adam Lee Abdullah merupakan seorang bapa tunggal yang bekerja sebagai peniaga buah-buahan di pasar malam sekitar Alor Setar. Beliau memeluk Islam sekitar tahun 2005 bersama 2 orang anak beliau. Nurhidayah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2009, bersekolah di SMK Arau dan Mohd Fitri 15 tahun seorang pelajar tercicir, kini bekerja membantu bapanya berniaga.

Isteri beliau tidak ikut serta memeluk Islam dan ini telah menyebabkan mereka berpisah. Kini mereka sekeluarga menyewa di sebuah rumah kampung  di Titi Besi, Arau dengan kadar sewa RM150 sebulan tidak termasuk bil air dan elektrik. Beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat ada memberi bantuan sebanyak RM100 sebulan untuk setiap orang anaknya. Satu-satunya kenderaan yang beliau miliki  adalah sebuah motorsikal EX5 yang digunakan untuk mengangkut buahan ke destinasi perniagaan setiap hari bersama anak lelakinya.


En. Adam Lee (tengah) begitu cekal mengharungi hidup dengan keteguhan iman biarpun diuji
dengan kehidupan yang serba kekurangan

Satu kunjungan pimpinan ABIM Negeri  telah dibuat oleh Sdr. Zamri, Sdr. Asri dan isteri, Pn. Siti Hajar. Turut serta adalah Ketua Helwa, Pn. Siti Haryani bagi melihat sendiri keadaan keluarga ini di samping menghulurkan sedikit bantuan bagi mengurangkan beban.

En. Adam bagaimanapun ada memberitahu bahawa beliau bukan mahu meminta-minta belas ehsan orang ramai. Tetapi atas rasa simpati, terpanggil untuk ABIM mewar-warkan perkara ini sebagai masalah umat yang perlu ditangani bersama.

Pihak kami turut mengalukan-alukan sumbangan anda yang prihatin. Sumbangan kewangan boleh disalurkan melalui akaun yang tertera di sebelah, dan elok sekiranya dimaklumkan kepada sekretariat jika anda ada membuat sumbangan untuk memudahkan rujukan.

Majlis Eidul Fitri WADAH-ABIM Perlis



Rabu, 18 Syawal 30h/4 Oktober 09 @ PKK WADAH-ABIM Perlis

Sekitar 50 orang daripada kalangan senior2 WADAH dan sahabat2 ABIM telah menghadiri majlis ini. Turut serta juga adalah dari kalangan keluarga dan kenalan, yang hadir bagi sama2 memeriahkannya. Pelbagai juadah disediakan disamping buah tangan raya yang dibawa masing2 dari rumah.



Sejurus selepas solat maghrib berjamaah, satu sesi tazkirah telah disampaikan oleh Sdr. Yusaiman Yusoff selaku Timbalan Pengerusi WADAH Negeri. Beliau memperkatakan soal pentingnya untuk jemaah ini terus istiqamah dalam tuntutan dan tanggungjawabnya sebagai muslim apatah lagi sebagai gerakan dakwah. Beliau merujuk kepada sikap umat Islam yang kembali dengan watak yang berbeza semasa Syawal berbanding Ramadhan yang lalu.

Dr. Mohd. Arshad pula selaku Pengerusi WADAH, menekankan peri pentingnya kedudukan solat berjemaah di masjid. Beliau mengingatkan hadirin dengan ancaman yang pernah Rasulullah SAW keluarkan untuk membakar rumah mereka yang tidak ke masjid untuk solat secara berjamaah. Begitu besar kemarahan baginda SAW yang sering kita pandang kecil khususnya kepada pendukung gerakan dakwah seperti WADAH dan ABIM ini.



...khusyuk mengikuti tazkirah



...kaum ibu serta anak-anak turut bersama memeriahkan majlis





Sdr. Najid menyampaikan ucapan eidul fitri mewakili ABIM

Akhir majlis, kesempatan turut diberikan kepada wakil ABIM dan WADAH untuk memberikan sedikit ucapan sempena Eidul Fitri kepada semua yang hadir.

http://www.facebook.com/l.php?u=http%3A%2F%2Fwww.malaysiakini.com%2Fnews%2F113749&h=9e07c6699db819934c646b3ef8c8ffd8

NASIHAT BERGUNA BUAT
SALAFI & KHALAFI MALAYSIA


( Diterbitkan oleh METRO AHAD, 24 Dis 06 dengan versi artikel)

SOALAN

soalan saya ustaz, ilmuan kaum tua dan kaum muda sekarang masih lagi berbeda pendapat hatta pada masalah yang furu'. mereka masih berfikiran sempit dan tidak mahu mengambil pengajaran atas dasar taqlid yang pernah dianuti masyarakat islam dahulu. bagaimana ustaz peranan para ilmuan muda ini untuk mendapat tempat dalam bidang intelektual sekarang?

-hidayah-

JAWAPAN



Sedar atau tidak sedar, perselisihan dan perbezaan pendapat antara golongan yang mengkaji dan mengamalkan agama Islam di Malaysia menjadi semakin hangat. Ia semakin mendapat perhatian ramai apabila muncul di akhir-akhir ini golongan kelas pertengahan dari masyarakat yang suka mendapatkan sesuatu hukum beserta dengan dalil-dalilnya, tanpa hanya mendengar ‘halal' atau ‘haram' dan kemudian menurutinya dengan selesa. Dengan pertambahan golongan masyarakat yang sebegini, maka pendapat mazhab Syafie yang sudah biasa didengari dan dikuti tanpa banyak soal sejak turun termurun sudah mula dibuka untuk perbandingan dengan pandangan-pandangan lain, demi mendapatkan satu hukum yang benar-benar selesa dipegang oleh golongan ini. Secara tidak lansgung, tindakan ini dilihat amat negatif oleh sebilangan golongan dan kelompok masyarakat yang lain, iaitu dalam keadaan mereka sudah amat selesa dengan satu pegangan itu sejak sekian lama tiba-tiba muncul perbincangan terhadap pegangannya. Hal seperti ini menjadikan perang mulut berlaku dan ‘perdebatan dari jauh' dan dekat juga tidak kurang banyaknya.

Hasil tinjauan dan pengamatan sederhana saya, mendapati adakalanya perdebatan ini bertukar kepada perdebatan sihat kepada yang sebaliknya. Hasil dari itu, saya ingin mengambil peluang di ruang ini bagi berkongsi nasihat yang ebrguna buat sahabat-sahabat dari kedua-dua aliran. Diharap mereka sudi untuk membacanya tanpa prejudis.

Bagi saya, peranan golongan ilmuan muda hari ini antaranya :-

a) Tidak cepat menghukum sebaliknya perlulah memahami perjuangan kedua-dua kumpulan dengan baik

b) Menjaga asas dan adab serta bersabar dalam perdebatan dan perbincangan.

c) Memahami hujjah, kondisi, kesediaan masyarakat setempat.

d) Merujuk sesuatu isu dari sumber rujukan samada kitab yang benar-benar mewakili mazhab itu. Jika mazhab Syafie, maka perlulah dirujuk kitab utama yang telah disepakati oleh ribuan ulama Syafie silam seperti Ar-Rawdah, Al-Majmu', Nihayatul Muhtaj, Tuhfatul Muhtaj, Mughni al-Muhtaj, Fath al-‘Aziz dan Al-Umm. Ini antara kitab utama yang mesti dipastikan rujukan bagi mendapatkan satu fatwa yang mewakili mazhab Syafie.

e) Bersikap terbuka dan beradab dalam menilai pandangan-pandangan ulama lain dan dalil bagi setiap fatwa mereka. Dan banyak lagi peranan lain yang tidak mampu saya nyatakan di ruangan kecil ini.

Justeru, eloknya ilmuan muda dan dewasa meneliti di mana punca temu dan tembung antara dua aliran ini. Jika diteliti, kita akan dapati kedua-dua mereka bertemu dalam banyak perkara, terutamanya, bertemu dalam niat baik yang ingin disumbangkan kepada masyarakat..

Kaum Muda yang di namakan juga ‘salafi', ‘tajdid', ‘sunnah' atau dicop juga sebagai ‘wahabi' pada hemat saya menginginkan seluruh masyarakat lebih 'selamat' dan hampir kepada Al-Quran & as-Sunnah (pada hemat dan penelitian mereka) ; iaitu dengan cara membawa mereka kepada pegangan Aqidah dan Ibadat yang dipaku dengan dalil sohih tanpa hanya terikat dan taqlid kepada satu aliran atau pendapat saja. Ia satu niat yang amat baik dengan mengembalikan fungsi aqal yang dikurniakan Allah SWT serta memurnikan ibadat dari rekaan-rekaan yang dijangkakan boleh menghilangkan sasaran pahala yang diletakkan oleh Rasulullah SAW.

Kaum Tua atau dikenali sebagai ‘Khalafi' yang berpegang dengan umum mazhab Syafie pula berhasrat memudahkan orang awam yang dirasakan kebanyakannya kurang mampu untuk mengikuti kaedah tadi, lalu mereka mempopularkan cara taqlid (ikutan tanpa kajian terperinci) sebagai medium penyatuan dalam masyarakat dan juga ibadah, selain menganugerahkan kemudahan buat masyarat yang majoritinya tidak punyai kemampuan untuk mengkaji secara mendalam hingga ke tahap dalil bagi sesuatu ibadat. Selain itu, mereka juga risau akan munculnya individu yang tidak berkelayakan lalu menggunakan kaedah rujukan dalil tadi sehingga menyeleweng, menurut mereka lebih baik bertaqlid kepada satu mazhab (Syafie) berbanding silap menyeleweng atau lebih baik pegang pendapat ulama syafie dari pegang pendapat sendiri yang amat tidak ‘alim.

Niat mereka ini lebih elok jika kita sedari dari asyik berbicara tentang perselisihan mereka. Selain itu, akibat peselisihan yang semakin buruk, muncul tuduhan dari kedua-dua kumpulan bahawa orang sana tidak lain hanya ingin menyesatkan dan memecah belahkan orang ramai. Masing-masing menuduh antara satu sama lain sebagai punca masalah tanpa sedar lagi kemungkinan dirinya adalah silap.

Justeru, kita dapat lihat inilah perjuangan mereka semua niat adalah baik, cuma mereka berbeza dalam target bentuk pergerakan, penentuan keutamaan dan pendekatan.

Peranan Penyokong

Malangnya dengan di'api'kan oleh penyokong masing-masing yang kurang 'ilmu' dan penghayatan, maka pertembungan menjadi serius, titik selisih menjadi utama menenggelamkan hasrat murni dan titik persamaan. Hinggakan guru-guru kedua kumpulan yang pada asalnya cukup lunak dan berbaik, menjadi keras, tuduh menuduh berlaku, remeh meremeh, balas membalas, lebih amat malangnya banyak pula si 'guru' yang bertindak balas bukan dalam isu yang sebenar, tapi hanya akibat mainan mulut si anak murid atau penyokong yang suka menokok tambah bagi menyedapkan perisa, kononnya orang sana menyebut itu ini.

Suka saya nasihatkan si murid agar mengingati kembali bab 'An-Namimah' iaitu mengadu domba yang amat dicela oleh Islam. Guru mana yang tidak ‘marah' apabila dilaporkan oleh si anak murid bahawa orang sana mengatakannya mengajar ajaran yang tidak benar, sesat, hujah cetek, menolak Usul Fiqh, tak mengetahui hadith dan lain-lain. Malah lebih buruk apabila kritikan hujjah merebak kepada kritikan peribadi, rupa wajah dan lain-lain.

Nabi SAW bersabda :

‏لا يدخل الجنة ‏ ‏نمام

Ertinya : Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba ( Riwayat al-Bukhari)

Huraian ringkas berkenaan tajuk yang disebut dalam kitab "Al-Halal Wal Haram" oleh Dr Yusof Al-Qaradawi sangat baik dibaca oleh ilmuan dan para pengaji agar tidak tergolong dalam kumpulan pengadu domba yang memburukkan keadaan, memutuskan ikatan kasih antara muslim dengan berselindung di balik ‘niat baik' kononnya untuk meluruskan orang yang sedang menyeleweng.

Saya kerap berjumpa, pertempuran hujjah si 'guru', tetapi ia sebenarnya adalah hasil 'mulut' si anak murid, maka bertempurlah si 'guru' tanpa fakta yang sebenar tentang pihak sebelah sana, amat malang dan membuang masa. Inilah akibat kesimpulan sendiri dari kedua-dua belah pihak, sehingga mengadakan perkara yang tiada.

Peranan Syaitan

Dalam keghairahan menegakkan hujjah, pendekatan, keutamaan yang diletak oleh kumpulan dan perjuangan masing-masing, ramai yang tidak sedar bahawa Syaitan bertapak semakin hebat dalam diri. Sedarkah kita bahawa Syaitan pasti melontarkan rasa keakuan, ego, sombong, rasa diri ‘alim kerana hujjah mantap?. Ketika itu, secara sedar atau tidak, sekiranya hujjah di pihak lain adalah benar sekalipun , ianya tetap akan dilihat salah, sekaligus menolaknya dengan pantas, sambil merujuk ke guru masing-masing untuk mencari hujjah tambahan.

Kerap juga saya dengari di kalangan penyokong-penyokong ini merujuk kepada guru mereka sambil berkata "Ust , bagaimana saya nak jawab hujjah mereka yang ini, yang itu dan lain-lain" . Sedarkah kita bahawa kemungkinan hujjah itu benar?. Tetapi dalam hal ini, si penyokong seolah-olah sudah pasti ianya salah, cuma mereka kurang mahir menacri hujah menolaknya sahaja. Sang guru pula akan rasa tercabar apabila hujjahnya dipatahkan lalu dengan begitu bersemangat pula membawa ‘buah' baru untuk dilontarkan kepada ‘orang sana'.

Jika ini berlaku, tiada lagi usaha mencari kebenaran tulen, yang ada hanyalah usaha menunjukkan ke'alim'an masing-masing. Adakalanya, belum pun sesuatu hujah ‘orang sana' diamati sehingga habis ayat-ayatnya, telah digelengkan kepala, ditertawakan, diberikan senyuman sumbing tanda hinaan terhadap hujah orang lain.

Nabi SAW menyebut :

الكبر بطر الحق وغمط الناس

" Takabbur itu adalah menolak kebenaran dan memperlekehkan manusia" ( Riwayat Muslim)

Berkata Syeikh Abu Raghib akan erti "Batar" dalam hadith di atas :-

"Rasa ‘ujub' atau keajaiban diri yang menyelubungi individu ketika diseliputi nikmat ( termasuk nikmat ilmu)"

Inilah yang pasti berlaku dalam pertempuran hujjah yang diapikan oleh para penyokong ini. Perlekehan akan berlaku, lalu timbulah ayat-ayat seperti " tak habis mengaji lagi tu" , " hidung masih berhingus nak berhujjah". " ni mesti tak faham bahasa arab dengan baik ni" , "depa ni bukan reti ilmu hadith" dan banyak lagi dari kedua-dua belah. Sihatkah ini? Benarkah perjuangan kebenaran yang didokongi atau telah terseleweng sedikit demi sedikit?.

Semoga Allah memberi rahmat buat kita semua dan mengampunkan saya dalam kesilapan pengamatan saya yang amat sederhana. Maaf buat semua jika ia mengguris anda tanpa hak.

www.zaharuddin.com



Salam Syawal 1430h.
Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum.
...Salam Ukhuwah & Salam Perjuangan...

Seminar Pemantapan Aqidah Generasi Muda
Peringkat Negeri Perlis

Sabtu 15 Ramadhan 30H/5 Sept.09
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh
Satu seminar sehari Program Pemantapan Aqidah telah berjaya dilangsungkan di Masjid Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh yang dianjurkan bersama oleh ABIM Negeri Perlis, Jabatan Belia & Sukan Negeri dan PTSS. Lebih 300 orang peserta mengikutinya yang menggabungkan siswa-siswi dari institusi ini dan Kolej Komuniti Arau.
Program bermula dengan solat zohor berjamaah diikuti dengan perasmian program oleh Pengarah Pusat Islam PTSS, Sdr. Rashdan Rashid. Objektif program adalah untuk memberi kefahaman kepada generasi muda khususnya belia Islam perihal isu2 semasa berkaitan dengan penyelewengan aqidah di negara ini, selain menanam sensitiviti yang tinggi kepada peserta terhadap akidah agar tidak mudah terpesong dan bersedia mendepaninya dengan kefahaman yang jelas terhadap 2 sumber utama iaitu Al-Quran dan sunnah.
Pembentangan kertas kerja pertama disampaikan oleh Ustaz Marshidi Mat Rashid dari SMA Al Maad Arau dengan tajuk Ajaran Sesat di Malaysia. Banyak pendedahan yang dilontarkan dalam permasalahan ini berserta fakta-fakta penting untuk diberi perhatian.
Ustaz Marshidi
Sdr Yusaiman membentangkan kertas kerja ke 2

Permasalahan Sosial Generasi Muda Kini di sampaikan pada pembentangan kertas kerja kedua oleh Sdr Yusaiman Yusoff dari UUM Sintok. Beliau yang juga mantan YDP ABIM Negeri Perlis mengulas permasalahan belia yang berdepan ancaman penyakit sosial yang membarah seperti penyalahgunaan dadah, isu2 seksual, budaya hedonisme dan pelbagai isme yang dilambakkan kepada generasi muda.
Sesi Forum berlangsung
Selepas solat Asar, diadakan pula sesi forum yang bertajuk "Pemantapan Aqidah Generasi Muda". Panelisnya terdiri dari Ustaz Hashim Othman dari JAIPs, Ustaz Razak dan dipengerusikan oleh Sdr. Mohd Najid Omar merangkap YDP ABIM Negeri Perlis.
Sdr. Mohd Najid mempengerusikan majlis Forum
Majlis penyampaian sijil penyertaan kepada wakil peserta.
Kaunter jualan produk dan sesi pendaftaran terbuka
sebagai Sukarelawan ABIM Perlis
Suasana iftar di pengakhiran program bersama peserta siswa & siswi
Sdr. YDP bersama Sdr. Rashdan (berbaju putih) Pengarah Pusat Islam PTSS
ketika berbuka puasa.
Jamuan makan malam selepas solat maghrib.
ABIM Negeri Perlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan program ini berjalan lancar dari awal hingga ke akhir. Semoga Allah SWT mengurniakan kebajikan kepada kita,ukhuwah dan kerjasama yang berterusan.

Harga Baru Bahan Bakar:
ABIM Minta Ia Diperhalusi Semula

Kenyataan Media 2 September 2009/ 12 Ramadhan 1430 H 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat pengumuman harga bahan bakar baru, Ron 95, memandangkan ia dinilai membebankan pengguna bahan bakar berkenaan. Walaupun pada dasarnya, pengenalan petrol jenis baru Ron 95 sebagai alternatif pilihan kepada RON 97, ABIM yakin dengan ini pengguna dapat membuat pilihan bahan bakar mana yang sebaiknya untuk keperluan seharian mereka, akan tetapi pengenalan harga bahan bakar yang diumumkan kelmarin, dikhuatiri telah mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia, yang menerima kesan secara langsung daripada kenaikan harga bahan bakar tersebut.

Dalam hal ini, perubahan ataupun kenaikan harga sesebuah barangan perlu dilakukan secara serta merta jika dibandingkan dengan penurunan harga barangan. Malah ABIM merasakan pada saat majoriti rakyat Malaysia akan menyambut hari perayaan terbesar umat Islam, kenaikan harga bahan bakar ini akan menyebabkan bertambahnya kos perbelanjaan rakyat Malaysia. Perlu diingat bahawa sebarang perubahan di dalam harga bahan bakar ini akan mempengaruhi pergerakan harga barangan lain di pasaran.

Ini secara langsung menghimpit majoriti masyarakat yang telah pun mengalami kesan langsung akibat krisis ekonomi yang melanda dunia. Malah tindakan ini juga jauh menyimpang daripada matlamat yang ingin dicapai menerusi kempen penurunan harga barangan, yang hingga ke saat, ini masih giat dijalankan dan masih belum lagi mencapai kenyataan.

Atas dasar keprihatinan untuk menyuarakan kepentingan umum, ABIM mencadangkan agar kerajaan:

1. Mengekalkan harga bahan bakar sedia ada (RON 97) pada harga sebelumnya.

2. Pengenalan kepada harga bahan bakar baru ini (RON 95) perlu lebih rendah berbanding dengan harga bahan bakar RON 97.

3. Memastikan bekalan dan kebolehcapaian kepada bahan bakar baru (RON 95) boleh didapati di seluruh pelusuk Negara termasuk di kawasan luar bandar terutama sekali di kawasan pedalaman Sabah & Sarawak.

4. Sebarang perubahan harga barangan asasi perlu mengambil masa serta tidak perlu dilaksanakan secara terburu-buru.

5. Memastikan dengan tegas dan efektif agar tidak ada peniaga, pemborong dan pengilang yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan lain, akibat daripada perubahan harga bahan bakar berkenaan.
 


"MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN"

AHMAD SAPARUDIN YUSUP
Naib Pres. Kebangsaan


Perutusan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke 52: Masyarakat Malaysia Perlu Sahut Seruan Membina Masyarakat Yang Bersatu Padu Dan Harmoni
KENYATAAN MEDIA - 1 SEPTEMBER 2009 / 11 RAMADHAN 1430H
Negara kita Malaysia telah menyambut ulangtahun kemerdekaan kali ke 52 dalam suasana sederhana tetapi meriah dan patriotik pada 31 Ogos 2009 yang lalu. Di dalam banyak pengucapan para pemimpin negara bersempena tahun kemerdekaan ini, tuntutan untuk semua rakyat Malaysia bersama-sama membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni telah ditekankan menerusi kerangka gagasan Satu Malaysia. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selaku sebuah pertubuhan yang mewakili golongan belia Islam di negara ini ingin menyeru seluruh masyarakat Malaysia menyahut seruan ini.

Masyarakat Malaysia boleh menyumbang di dalam usaha pembentukan negara Malaysia yang bersatu padu menerusi beberapa langkah. Pertama ialah dengan memahami dan menghayati kembali sejarah pembentukan negara ini. Hal ini menuntut masyarakat Malaysia meningkatkan bacaan dan kajian terhadap susur galur perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi perspektif yang menyeluruh. Menerusi pembacaan dan pengkajian ini, masyarakat Malaysia tentu akan terdedah dengan latar kehidupan negara sebelum kemerdekaan, memahami liku-liku di dalam proses mencapai kemerdekaan, mengenali tokoh-tokoh penjuang kemerdekaan dari segenap kumpulan masyarakat dan kaum serta memahami asas-asas permuafakatan antara kaum-kaum di negara ini yang telah membawa kepada kemerdekaan negara.

Langkah kedua ialah dengan mempertingkatkan hubungan dan pergaulan antara kaum di negara ini. Sebagaimana yang kita sedia ketahui, masyarakat kita tergolong kepada beberapa kelompok kaum yang terdiri dari kalangan masyarakat Melayu, Cina, India, Bumiputra Sabah dan Sarawak dan masyarakat Orang Asli. Kepelbagaian masyarakat Malaysia ini perlu dijalin secara kukuh dan berterusan. Peningkatan hubungan dan pergaulan menerusi pelbagai cara yang sesuai dan wajar antara pelbagai kaum boleh menghilangkan jurang dan tembok pemisah yang banyak disaluti oleh kepentingan kelompok. Di samping kita terus mengekalkan identiti kelompok yang kita warisi, masyarakat Malaysia hendaklah bersatu di atas semangat kenegaraan sebagai ‘’Anak Malaysia’’.

Langkah ketiga ialah menerusi peningkatan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. ABIM ingin menyeru seluruh masyarakat Malaysia supaya meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan samada dari aspek kefahaman dan pertuturan. Ini kerana bahasa Melayu ialah bahasa penghubung antara kita semua. Sekiranya masyarakat Malaysia tidak berkongsi satu bahasa pengantaraan yang sama, kita semua tidak akan dapat berkongsi perasaan kecintaan kepada negara dan tidak mungkin akan dapat menghayati cita-cita perjuangan yang sama sebagai anak Malaysia.

Bersempena dengan sambutan kemerdekaan tahun ini, ABIM ingin menyeru semua pihak supaya terus gigih dan ikhlas di dalam membina negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Ini dapat diterjemahkan sekiranya semua pihak menghormati rukun negara dan prinsip keadilan dan kehormatan insan sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Merdeka ke-52
"MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN"
MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden

IFTAR JAMAIE
bersama WADAH-ABIM Perlis

Rabu 12 Ramadhan 30H/2 Sept.09
PKK WADAH ABIM Kangar

Tazkirah dari Ustaz Ahmad Hamzah

Seringkali rasa "takut" membataskan kita untuk meneruskan sebarang tindakan dan usaha kerana khuatir akan kesan yang bakal diterima kemudian hari. Pengisian jiwa yang disampaikan oleh Ust. Ahmad Hamzah sedikit sebanyak mengupas persoalan takut yang seringkali membelenggu pemikiran dan naluri manusia. Pada semua peringkat manusia mengalami sindrom ini, hingga ke jemaah gerakan Islampun tidak dapat lari daripada persoalan ini. Bagi sesetengah orang "takut" tiada kerja walaupun ada kelulusan, "takut" tiada masa depan walaupun sudah bekerjaya, malah sehingga perkara remeh di bulan Ramadhan ini seperti terpaksa bangun bersahur walaupun tidak lalu makan kerana "takut" lapar disiang hari nanti. Hakikatnya Allah SWT telah menetapkan segala2nya khususnya persoalan rezeki, jodoh dan maut sebelum manusia dilahirkan ke muka bumi.
Persoalan 'takut' tersebut dan yang berkaitannya telah disebutkan dalam ayat 268 Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

" Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan ...."

Justeru perlu diperbetulkan semula konsep rasa "takut" yang hadir dalam perasaan kita dan biarlah kena serta bertepatan dengan syariat.

Pengerusi WADAH Perlis, Dr. Mohd Arshad dengan sedikit tazkirah ringkas

Kegembiraan orang berpuasa..
Pelan..pelan kunyah... Ayaq sirap takda ka..?

Syukran atas kehadiran semua, semoga ukhuwah dan jemaah terus utuh. Jazakallahu khairan kathira..



Iftar bersama Pimpinan Pusat
24 Ogos 09

Majlis berbuka puasa

ABIM Negeri telah menerima kunjungan istimewa dari pimpinan pusat yang baru dalam siri jelajah mereka ke seluruh negara. Alhamdulillah, ABIM Negeri telah menjadi cawangan negeri yang pertama dilawati. Program yang berlangsung di PKK WADAH-ABIM Pengkalan Asam ini turut dihadiri sahabat-sahabat ABIM Kedah. Antara pimpinan Pusat yang hadir adalah Sdr. Amidi selaku Timb. Presiden dan Ust. Naim, exco biro dakwah manakala Abim Kedah terdiri daripada Setiausaha Negerinya, Ust. Zul Azri bersama sahabat2 pimpinan negeri.

Second round...nasik kandar

Sdr. Timbalan Presiden dalam sesi taaruf dan penerangan sekitar ehwal semasa

Sdr. Zul, SUN Kedah (berbaju hijau) dengan sedikit taklimat amanah negeri yang dipikulnya


Pimpinan ABIM Negeri, Sdr YDP dan SU Kewangan iaitu Sdr Sukhairi memberi komentarnya


Majlis ringkas penuh bermakna ini memberi nafas baru dan ruang untuk bertukar-tukar pandangan dan pengalaman, mengeratkan hubungan negeri dan pusat khususnya dalam rangka kerja dakwah di negara ini. Sekretariat negeri mengucapkan berbanyak terima kasih atas kehadiran sahabat2 semua, semoga ada lagi pertemuan sebegini pada masa akan datang.