Mempromosikan Produk Desa
& Membudayakan Keusahawanan Belia Muslim 

Biro Keusahawanan dan Gerak Tani ABIM Perlis kali ini turun bersama masyarakat di Tasik Melati - salah sebuah taman rekreasi terkenal di negeri ini untuk bersama membantu usahawan-usahawan desa mempromosikan produk tempatan. Karnival yang julung kali diadakan ini dibantu oleh agensi Lembaga Penggalakkan Pelanncongan Malaysia negeri Perlis dan Persatuan Pelancongan Perlis sebagai Penganjur utama.

Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti mengumpul dana bagi mengisi Tabung Infaq Abim Perlis. Selain terlibat menjalankan jualan produk sepanjang 3 hari iaitu dari 21 hingga 23 Disember tersebut, menerusi Biro Media & Publisiti ABIM Perlis juga turut menganjurkan Pertandingan Fotografi Amatur sebagai tarikan utama karnival tersebut.

RAYUAN SUMBANGAN DAN INFAQ

ABIM Perlis dengan semangat ukhuwah dan kemanusiaan merayu dan mengajak semua golongan masyarakat membantu mengisi tabung infaq ini yang antara lain untuk membantu golongan marhaen dan mustadafin yang terdiri daripada anak-anak yatim, ibu tunggal, mualaf dan golongan-golongan terpinggir yang memerlukan perhatian khususnya di negeri Perlis.

Semoga sumbangan ikhlas kita menjadi saham dan ganjaran yang berganda di akhirat kelak, insya Allah.

(No. akaun tertera di sebelah)

SEKITAR BANJIR BESAR PERLIS NOVEMBER 2010

Awal november 2010, negeri-negeri utara khususnya telah menerima ujian daripada Allah SWT dengan musibah banjir. Perlis antara negeri yang agak teruk menghadapinya dan terburuk sejak 2005. Hampir semua kawasan dan daerah utama negeri ini menerima bencana banjir ini. Situasi yang berlangsung hampir seminggu ini menyebabkan bandar Kangar hampir lumpuh daripada sebarang aktiviti sedia ada.




...berberapa gambar suasana sekitar bandar Kangar.

Ramai pimpinan negeri turut menjadi mangsa. ABIM Perlis berterima kasih kepada ABIM Pusat kerana hadir membantu melalui Misi Perubatan ABIM dibawah kelolaan Dr.Saifullah Hany. Kehadiran Tim tersebut telah memberi pengalaman baru secara langsung kepada pimpinan khususnya dalam melibatkan diri dengan kerja-kerja di lapangan yang berhadapan dengan keresahan masyarakat dan mangsa bencana. ABIM Perlis telah membentuk sekumpulan sukarelawan daripada sebuah IPTS tempatan untuk bersama-sama membantu.

Menerusi Majlis Belia Negeri ABIM diberi peranan sebagai Unit Kerohanian yang berpusat di Bilik Gerakan Kompleks Dewan Undangan Negeri. Unit ini telah diberi amanah untuk melaksanakan pengisian aktiviti kepada anak-anak mangsa banjir yang ditempatkan di 2 buah sekolah iaitu SK Sena dan SK Panggau. Antara program lain yang telah dilaksanakan adalah membersih Surau Al Muhajirin, Taman Hijrah, Kangar dan Sukarelawan ABIM Bersama MBN Perlis ke Utara Kedah.

- (Maaf kerana tidak dapat menyiarkan gambar-gambar aktiviti tersebut kerana kamera penulis juga mengalami kerosakan.)






SALAM MAAL HIJRAH 1432.

Buat teman dan sahabat serta muslimin dan muslimat,

SETIAP MANUSIA BERADA DALAM KERUGIAN. KECUALI MEREKA YANG BERJUANG DENGAN KEBENARAN DAN KESABARAN. BERJIHAD DALAM DAN LUAR DIRI SEHINGGA TERTEGAKNYA TAQWA. MOGA KITA SEMUA MENUJU PERUBAHAN YANG HAKIKI SEHINGGA KEMBALI KE PANGKUAN ILAHI.

Majlis Berbuka Puasa 
& Penyampaian Sijil Rakan Strategik Belia anjuran MBN Perlis
23 Ogos 2010 - Ocean Glow, Kuala Perlis

YAB Menteri Besar beramah mesra dengan pimpinan MBN Perlis


Satu majlis iftar dan jamuan malam telah diadakan bersama dengan 12 badan gabungan belia negeri . Majlis ini juga turut disinggahi seketika oleh YAB Menteri Besar untuk beramah mesra dengan golongan belia yang hadir. Sijil-sijil penghargaan disampaikan kepada semua badan belia bagi menghargai penglibatan pada Hari belia peringkat negeri yang lalu.

Sdr. Izuan mewakili Pengarah Jabatan Belia & Sukan Perlis serta Sdr. Saiful YDP MBN Perlis
menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil ABIM Perlis.


NADWAH SERUAN ISLAM
25 Disember 2009,
8.30pagi hingga 6.00 petang - Dewan Kompleks JAIPs, Kangar



Alhamdulillah, penyertaan Nadwah begitu menggalakkan dan terdiri daripada pelbagai lapisan usia masyarakat. Ini memberi satu gambaran bahawa ilmu dan kerja-kerja dakwah di kalangan masyarakat awam khususnya, begitu tinggi permintaannya. Tugas ini sewajarnya digembeling bersama dengan pihak yang berautoriti bagi melancarkan segala perancangan yang ingin dilaksanakan. Bagi NGO Islam pula khususnya, gabungan kepakaran dan kekuatan perlu dilakukan sepertimana yang direalisasikan pada nadwah ini. Sememangnya tujuan sebenar jemaah Islam itu ditubuhkan iaitu melaksanakan gerakerja dakwah - menyampaikan risalah Tauhid sepertimana jalan rasul dan nabi2 terdahulu.



Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainal Abidin menyampaikan sedikit pengisian sebelum merasmikan Nadwah.

Sesi pagi telah disampaikan oleh Sdr. Lim Jooi Soon, seorang pendakwah bebas yang juga penasihat PERKIM Ampang, Selangor. Beliau mengulas berkaitan asas akidah Kristian yang perlu difahami oleh pendakwah Islam. Antara yang menarik ialah perpecahan umat kristian di seluruh dunia sehingga ke hari ini adalah lebih 33,800 mazhab yang mana perbezaan itu tertumpu kepada soal-soal asas agama mereka, tidak seperti Islam walaupun terdapat perbezaan tetapi hanya berlegar sekitar perkara furuk yang kecil sahaja.




Sesi pertama yang disampaikan oleh Sdr. Lim


Sesi Kedua oleh Sdr. Kamaruddin Abdullah



Sdr Kamaruddin ketika mengulas tentang perbandingan Islam dan Kristianiti menyatakan bahawa antara perbezaan yang paling besar ialah setiap bayi yang lahir dalam Kristian telah mewarisi dosa yang telah ditinggalkan oleh Adam & Eve (Nabi Adam a.s & Hawa), sedangkan setiap anak yang lahir dalam Islam itu fitrah dan bersih keadaannya sepertimana kain yang putih.



"Kelebihan agamawan Kristian berbanding Islam adalah mereka lebih mesra jemaah. Lihatlah kita, semakin alim, semakin bengis dan mahal dengan senyuman. Sepatutnya sebagai seorang Islam kita patut lebih cool, kerana Islam itu memberikan ketenangan kepada kita".
"Dalam Solat berjamaah, bukanlah syaitan yang kita gambarkan itu (berupa makhluk yang berekor runcing dan bertanduk) yang menjarakkan kita dan jamaah lain di kiri dan kanan, tetapi syaitan itu berupa status, darjat, bangsa yang kita muliakan sehingga menjadi penghalang untuk merapatkan anggota badan kita dengan saudara seagama"
- Sdr. Kamaruddin

Pada akhir nadwah, telah ditubuhkan Sekretariat Seruan Dakwah Negeri Perlis yang akan meneruskan usaha dakwah ini secara konsisten dan terancang bagi memastikan usaha ini tidak terhenti sekadar di peringkat seminar semata-mata. Peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan utama bagi memfokuskan tugas masing-masing. Ahli-ahli kumpulan akan terus berhubungan selepas ini untuk merangka tugas-tugas dan perkara yang berkaitan dari masa ke semasa.


Kumpulan Perbandingan Agama
- Menyelenggara kursus dan pengajian yang berkaitan bagi memberi penambahan ilmu



Kumpulan Penerbitan
-Mengumpul dan menerbitkan bahan2 untuk sebaran dakwah


Kumpulan Kebajikan
-Mengenalpasti bentuk bantuan dan sokongan serta yang berkaitan kepada mualaf


Kumpulan Sekretariat
-Mengurus organisasi dengan profesional

Semoga usaha yang sedikit ini akan mendapat manfaat yang berterusan dan memberi semangat dan ruang untuk masyarakat bergerak di jalan dakwah yang lebih komprehensif.

Sekali lagi ucapan terima kasih kepada sahabat2 dari JIM, ABIM dan Institut Ibnu Kathir Negeri Perlis. Sekalung perhargaan kepada Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti Negeri Perlis di atas segala sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang Nadwah berlangsung.
Jazakallahu khairan khatira.

Sekitar Ceramah Ringkas Perbandingan Agama Sdr Lim Jooi Soon di Kolej Matrikulasi Perlis

24 Disember 2009 -Masjid KMP, Selepas Isyak


Meraikan tetamu dengan makan malam yang disediakan oleh KMP








Akhir sesi, sedikit jualan bahan-bahan penerbitan sementara Sdr. LJS tak menang tangan melayan persoalan2 pelajar KMP yang begitu pro aktif.