MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP TUNTUTAN BIADAP SIS UNTUK MENGHAPUSKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH


Mohd. Najid Omar mewakili ABIM Negeri Perlis menyerahkan laporan kepada wakil JAIPs, Ustazah Sharifah Mazni Syed Mustaffa di Kompleks tersebut.

KANGAR - Satu memorandum telah dibuat oleh Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Perlis berhubung isu Kartika Sari Dewi Shukarno. Laporan memorandum tersebut telah dihantar baru-baru ini ( 23 Oktober 2009) kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) untuk diberi perhatian dan tindakan lanjut selaku badan berkuasa agama Islam di negeri ini.


Memorandum ini dibuat berikutan tindakan Pertubuhan Sisters in Islam dan Ngo yang bersekutu dengannya berterusan mengeluarkan kenyataan-kenyataan media yang bersifat provokasi bagi menghalang tindakan seorang pesalah untuk meneruskan hukuman sebat berasaskan syariah Islam yang telah diputuskan oleh beliau.

Wakil JAIPs, Ustazah Sharifah Mazni Syed Mustaffa dari Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAIPs telah menerima laporan tersebut yang diserahkan oleh Mohd. Najid Omar selaku Yang diPertua ABIM Negeri Perlis.

“ Sebenarnya laporan seumpama ini telah dibuat oleh ABIM dan rakan-rakan NGO Islam seluruh negara, tetapi ABIM negeri agak terlewat menyerahkannya disebabkan oleh faktor kekangan masa. Bagaimananapun alhamdulillah, hari ini kita telah berjaya menyampaikannya kepada pihak berkuasa dan berharap ianya dipandang serius disusuli tindakan-tindakan yang wajar.”ujar sdr. Mohd Najid ketika diminta mengulas perkara itu.

Latarbelakang isu ini bermula apabila satu kumpulan yang dinamakan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang disertai oleh SIS dan berberapa NGO telah menghantar satu memorandum kepada YAB Perdana Menteri bertajuk Justice For Kartika bertarikh 25 Ogos 2009 yang mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar dimansuhkan Undang-Undang Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri.

“Tindakan kumpulan ini dianggap biadap kerana antara lain cuba menceroboh kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara dan Negeri-Negeri serta perundangan Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan. Mereka juga cuba menyentuh dan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan dan secara tidak langsung telah menghina hukum Syarak yang sedang berkuatkuasa melalui Enakmen-Enakmen Negeri” tambah Mohd. Najid.

Sementara itu, Setiausahanya Mohd. Zamri Mat Alim berharap rakan-rakan NGO Islam yang lain khususnya di negeri ini agar turut sama tampil memberi desakan yang serupa sebagai tanda solidariti dan menyemai kesedaran serta keprihatinan terhadap masyarakat. Tindakan ini perlu dibuat bagi menentang usaha-usaha agresif SIS yang turut sama membentuk kumpulan mereka sendiri selain cuba mempengaruhi kerajaan agar undang-undang syariah dipandang rendah dan dilihat tidak bertamadun.

Saudara Kita memerlukan perhatian:
ZIARAH PRIHATIN KE RUMAH
EN. ADAM LEE ABDULLAH


Tarikh Ziarah: 18/10/09 (Ahad)
Jam: 6 – 7 petang

En. Adam Lee Abdullah merupakan seorang bapa tunggal yang bekerja sebagai peniaga buah-buahan di pasar malam sekitar Alor Setar. Beliau memeluk Islam sekitar tahun 2005 bersama 2 orang anak beliau. Nurhidayah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2009, bersekolah di SMK Arau dan Mohd Fitri 15 tahun seorang pelajar tercicir, kini bekerja membantu bapanya berniaga.

Isteri beliau tidak ikut serta memeluk Islam dan ini telah menyebabkan mereka berpisah. Kini mereka sekeluarga menyewa di sebuah rumah kampung  di Titi Besi, Arau dengan kadar sewa RM150 sebulan tidak termasuk bil air dan elektrik. Beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat ada memberi bantuan sebanyak RM100 sebulan untuk setiap orang anaknya. Satu-satunya kenderaan yang beliau miliki  adalah sebuah motorsikal EX5 yang digunakan untuk mengangkut buahan ke destinasi perniagaan setiap hari bersama anak lelakinya.


En. Adam Lee (tengah) begitu cekal mengharungi hidup dengan keteguhan iman biarpun diuji
dengan kehidupan yang serba kekurangan

Satu kunjungan pimpinan ABIM Negeri  telah dibuat oleh Sdr. Zamri, Sdr. Asri dan isteri, Pn. Siti Hajar. Turut serta adalah Ketua Helwa, Pn. Siti Haryani bagi melihat sendiri keadaan keluarga ini di samping menghulurkan sedikit bantuan bagi mengurangkan beban.

En. Adam bagaimanapun ada memberitahu bahawa beliau bukan mahu meminta-minta belas ehsan orang ramai. Tetapi atas rasa simpati, terpanggil untuk ABIM mewar-warkan perkara ini sebagai masalah umat yang perlu ditangani bersama.

Pihak kami turut mengalukan-alukan sumbangan anda yang prihatin. Sumbangan kewangan boleh disalurkan melalui akaun yang tertera di sebelah, dan elok sekiranya dimaklumkan kepada sekretariat jika anda ada membuat sumbangan untuk memudahkan rujukan.