Majlis Berbuka Puasa 
& Penyampaian Sijil Rakan Strategik Belia anjuran MBN Perlis
23 Ogos 2010 - Ocean Glow, Kuala Perlis

YAB Menteri Besar beramah mesra dengan pimpinan MBN Perlis


Satu majlis iftar dan jamuan malam telah diadakan bersama dengan 12 badan gabungan belia negeri . Majlis ini juga turut disinggahi seketika oleh YAB Menteri Besar untuk beramah mesra dengan golongan belia yang hadir. Sijil-sijil penghargaan disampaikan kepada semua badan belia bagi menghargai penglibatan pada Hari belia peringkat negeri yang lalu.

Sdr. Izuan mewakili Pengarah Jabatan Belia & Sukan Perlis serta Sdr. Saiful YDP MBN Perlis
menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil ABIM Perlis.


NADWAH SERUAN ISLAM
25 Disember 2009,
8.30pagi hingga 6.00 petang - Dewan Kompleks JAIPs, Kangar



Alhamdulillah, penyertaan Nadwah begitu menggalakkan dan terdiri daripada pelbagai lapisan usia masyarakat. Ini memberi satu gambaran bahawa ilmu dan kerja-kerja dakwah di kalangan masyarakat awam khususnya, begitu tinggi permintaannya. Tugas ini sewajarnya digembeling bersama dengan pihak yang berautoriti bagi melancarkan segala perancangan yang ingin dilaksanakan. Bagi NGO Islam pula khususnya, gabungan kepakaran dan kekuatan perlu dilakukan sepertimana yang direalisasikan pada nadwah ini. Sememangnya tujuan sebenar jemaah Islam itu ditubuhkan iaitu melaksanakan gerakerja dakwah - menyampaikan risalah Tauhid sepertimana jalan rasul dan nabi2 terdahulu.



Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainal Abidin menyampaikan sedikit pengisian sebelum merasmikan Nadwah.

Sesi pagi telah disampaikan oleh Sdr. Lim Jooi Soon, seorang pendakwah bebas yang juga penasihat PERKIM Ampang, Selangor. Beliau mengulas berkaitan asas akidah Kristian yang perlu difahami oleh pendakwah Islam. Antara yang menarik ialah perpecahan umat kristian di seluruh dunia sehingga ke hari ini adalah lebih 33,800 mazhab yang mana perbezaan itu tertumpu kepada soal-soal asas agama mereka, tidak seperti Islam walaupun terdapat perbezaan tetapi hanya berlegar sekitar perkara furuk yang kecil sahaja.




Sesi pertama yang disampaikan oleh Sdr. Lim


Sesi Kedua oleh Sdr. Kamaruddin Abdullah



Sdr Kamaruddin ketika mengulas tentang perbandingan Islam dan Kristianiti menyatakan bahawa antara perbezaan yang paling besar ialah setiap bayi yang lahir dalam Kristian telah mewarisi dosa yang telah ditinggalkan oleh Adam & Eve (Nabi Adam a.s & Hawa), sedangkan setiap anak yang lahir dalam Islam itu fitrah dan bersih keadaannya sepertimana kain yang putih.



"Kelebihan agamawan Kristian berbanding Islam adalah mereka lebih mesra jemaah. Lihatlah kita, semakin alim, semakin bengis dan mahal dengan senyuman. Sepatutnya sebagai seorang Islam kita patut lebih cool, kerana Islam itu memberikan ketenangan kepada kita".
"Dalam Solat berjamaah, bukanlah syaitan yang kita gambarkan itu (berupa makhluk yang berekor runcing dan bertanduk) yang menjarakkan kita dan jamaah lain di kiri dan kanan, tetapi syaitan itu berupa status, darjat, bangsa yang kita muliakan sehingga menjadi penghalang untuk merapatkan anggota badan kita dengan saudara seagama"
- Sdr. Kamaruddin

Pada akhir nadwah, telah ditubuhkan Sekretariat Seruan Dakwah Negeri Perlis yang akan meneruskan usaha dakwah ini secara konsisten dan terancang bagi memastikan usaha ini tidak terhenti sekadar di peringkat seminar semata-mata. Peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan utama bagi memfokuskan tugas masing-masing. Ahli-ahli kumpulan akan terus berhubungan selepas ini untuk merangka tugas-tugas dan perkara yang berkaitan dari masa ke semasa.


Kumpulan Perbandingan Agama
- Menyelenggara kursus dan pengajian yang berkaitan bagi memberi penambahan ilmu



Kumpulan Penerbitan
-Mengumpul dan menerbitkan bahan2 untuk sebaran dakwah


Kumpulan Kebajikan
-Mengenalpasti bentuk bantuan dan sokongan serta yang berkaitan kepada mualaf


Kumpulan Sekretariat
-Mengurus organisasi dengan profesional

Semoga usaha yang sedikit ini akan mendapat manfaat yang berterusan dan memberi semangat dan ruang untuk masyarakat bergerak di jalan dakwah yang lebih komprehensif.

Sekali lagi ucapan terima kasih kepada sahabat2 dari JIM, ABIM dan Institut Ibnu Kathir Negeri Perlis. Sekalung perhargaan kepada Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti Negeri Perlis di atas segala sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang Nadwah berlangsung.
Jazakallahu khairan khatira.

Sekitar Ceramah Ringkas Perbandingan Agama Sdr Lim Jooi Soon di Kolej Matrikulasi Perlis

24 Disember 2009 -Masjid KMP, Selepas Isyak


Meraikan tetamu dengan makan malam yang disediakan oleh KMP








Akhir sesi, sedikit jualan bahan-bahan penerbitan sementara Sdr. LJS tak menang tangan melayan persoalan2 pelajar KMP yang begitu pro aktif.

Ingin mendalami ilmu sebagai Sukarelawan Dakwah  ?
SERTAI SEGERA !









"klik"  untuk dapatkan borang penyertaan

Tangkapan Dr Mohd Asri : Suatu Pandangan


BEKAS Mufti Perlis tidak dinafikan mempunyai ramai penyokong dan juga pembenci. Itu sudah tabiat manusia yang amat pelbagai. Kita tidak akan mampu untuk mengelakkan diri dari berbeza pendapat, saya juga banyak berbeza pendapat dengan beliau. Kita juga adakalanya tidak mampu untuk mengelak diri dari dibenci secara tiba-tiba, apatah lagi jika seseorang itu terkenal.

Namun, yang dibimbangi adalah perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan yang dahsyat, sehingga jika diselami hati para pembenci, pasti ada terlihat keinginan yang amat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih dari itu, meninggal dunia. Padahal isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk yang ekstrem dan keras. Memadailah untuk mengemukakan hujjah balas kepada apa yang dirasakan lemah, dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.

BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA & PANDANGAN

Imam Al-Awza'ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :


Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, akau akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )

Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya:


Ertinya: "JIka perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya"[1]

Maka ditanya: Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?

Imam Ahmad menjawab

لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه

Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.[2]

Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan Al-Quran. Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada [3]

a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.

b) Furu' Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.

Justeru, bagi memahami pembahagia n ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita. Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.Yang paling perlu dielakkan adalah, seorang alim melayan debat dengan seorang jahil. Ia sangat membuang waktu dan menyakitkan kepala sahaja. Kerana si jahil tidak akan mampu memahami laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh si alim. Justeru, tindakan terbaik bagi si alim adalah diam.

Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujjah pihak yang lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa juga mengiktiraf bahawa pihak yang lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam. Masing-masing merasakan pendekatan dan ilmu mereka adalah yang lebih tepat untuk membawa kepada keagungan Islam.

Namun jangan terlupa, ruang kesilapan masih boleh wujud di pihak kita. Saya sendiri sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu-isu kewangan dan riba, bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujjahnya, Justeru itu kerap saya katakan kpeada mereka yang sibuk dan marah-marah dengan pandangan saya, "Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk terima atau menolaknya"

Cuma harapan saya, jika menolaknya, tolaknya disebabkan kerana hujjah yang lebih meyakinkan dari mereka yang berkelayakan bukan kerana kita terlibat dalam bisnes itu nescaya mesti nak jadikan ia halal, atau dalam kata lainnya, kerana nafsu sendiri.

TANGKAPAN JAIS: SIAPA UNTUNG?

Memang benar JAIS punyai hak mendakwa sesiapa sahaja yang berceramah tanpa tauliah, itulah yang diarahkan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama di Negeri Selangor.
Namun demikian, saya kira untuk menangkap seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah diiktiraf keilmuannya oleh UIAM sehingga diberi PhD dalam bidang agama, juga oleh Raja Perlis sehingga dilantik menjadi Mufti negeri dan diberi anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Negeri. Tindakan itu boleh dikatakan kurang bijak dan secara tidak langsung memperkecilkan penilaian Raja Perlis, Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak pihak lain yang berautoriti.

Bagi saya isu ini lahir hasil ‘sakit hati' yang datang dari pertembungan kedua-dua belah pihak, penyokong dan penentang Dr Asri di Malaysia. Dr Asri di sebelah pihak yang dikatakan ingin membawa pembaharuan dalam pemikiran agama di Malaysia, manakala sebelah pihak lain adalah mereka yang meyakini sudah cukup dengan cara dan pemikiran agama yang sedia ada, nescaya pertembungan berlaku. Bermula dari sedikit, ia menjadi semakin besar apabila anak-anak murid fanatik menyemarakkan api pertengkaran serta kutuk mengutuk. Tidak terkecuali kedua-dua pihak mempunyai tekong ‘bergaduh' yang hebat, aktif serta dinamik dalam tugas kurang sihat ini.

Saya yakin, penangkapan Dr Asri berpunca dari perkembangan kurang sihat tersebut tadi, ia sangat mudah dibaca dari laman-laman web ‘tekong-tekong gaduh', ya amat pasti dan ia seolah-olah satu open secret bagi kedua-dua pihak. Ketiadaan tauliah hanya dijadikan alat dan cara berselindung di sebalik undang-undang yang sedia ada.

Memorandum Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia boleh memberikan pengesahan berkenaan persengketaan dan perbalahan ini.Namun sebenarnya, siapa yang untung dengan tangkapan ini? Memang benar, untung rugi bukan persoalannya di sini, tapi pastinya yang membenci ingin kononnya mematikan dan menggangu gerakan yang dibawa oleh Dr Asri. Dirasakan cara ini adalah terbaik bagi menakutkan kumpulan itu.Tetapi nampaknya, tangkapan itu menjadi back fire kepada mereka.

Ya benar, saya berasa yakin kini pihak yang tidak menyukai Dr Asri akan merasa tertampar dengan liputan media terhadap isu ini.

Sebagai orang luar dan pemerhati saya lihat, tiada banyak keuntungan diperolehi oleh pihak yang membenci Dr Asri, kerana tangkapan ini hanya menaikkan populariti beliau, malah kalau sebelum ini Dr Asri hanya menceritakan secara peribadi dan agak tertutup berkenaan sokongan pelbagai orang berjawatan besar, ternama dan pelbagai parti politik kepadanya, namun dengan berlakunya hal ini, sokongan tersebut menjadi nyata kepada awam.

Perdana Menteri memberi sokongan, Mursyidul Am PAS,Menteri Agama, Menteri Besar Selangor, Ketua Pemuda UMNO, Dibincang di dalam Parlimen Malaysia Ketua Pemuda PAS, Bekas YDP YADIM, Tajuk besar beberapa buah akhbar perdana, serta ramai dan banyak lagi..

Semua ini membuka lebih besar jalan kepada Dr Asri untuk mendapat samada perhatian, sokongan dan dakwahnya juga akan semakin dekat dan sampai ke hati orang ramai yang baru tertarik untuk membaca blognya, mendengar ucapannya dan sebagainya. Semua ini akibat dari isu penangkapan tersebut.

"Jadi ustaz, siapa yang rugi dan siapa yang untung?" tanya seorang kenalan di UK

"Sudah tentu Dr Asri dan gerakannya, jadi kalau di ketika ini ahli-ahli gerakannya perlu tampil kehadapan dengan lebih aktif untuk menerang dan menjelas, mereka akan mendapat merit yang banyak"
"Namun demikian, mesti disedari, populariti juga boleh ‘membunuh' seseorang ahli agama, rasa ujub, riya dan takbur amat mudah berkembang. Justeru itu dia kena jaga. Kelak nanti setiap lafaz boleh berubah menjadi sombong.

Teguran pula akan sentiasa dibakul sampahkan kerana merasa diri sangat popular dan berpengaruh. Malah ORANG YANG TAK SOKONG pun boleh jadi sokong kerana mula berasa SIMPATI". Tegas saya lagi menjelaskan. Demikian pendapat saya sebagai pemerhati dari luar, ya luar negara.

SUDAH-SUDAHLAH BERBALAH : BERDAMAILAH

Satu lagi, saya amat ingin melihat kedua-dua pihak menambahkan sikap lunak dan lebih bijak. Benar, bijak itu banyak caranya, keras dan garang juga mungkin sahaja tergolong dalam tindakan yang paling bijak dalam keadaan tertentu. Cuma lunak dan lembut adalah lebih digemari oleh Nabi s.a.w berbanding keras dan kasar.

Jangan pula mengatakan:
"Ala dia yang mula mengutuk dan mengecam, kita balaslah, geng dia saman dulu, kita bagilah dia tindakan undang-undang sebagai balasan"

Ini satu sikap yang tergambar hati yang busuk serta tidak matang. Jangan sampai orang melakukan cara ahli neraka, maka sebagai balasan, kita juga ingin menjadi sepertinya. Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat.

Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci.

Ali Abi Talib diriwayatkan berkata:

أقضوا ما كنتم تقضون فإني أكره الإختلاف حتى يكون للناس جماعة

"Putuskanlah hukuman mengikut apa yang telah kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh tersu berada di dalam satu jemaah (Tarikh Baghdad, 8/42)

Ahmad Bin Hanbal berkata :

لا بنبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهبه ولا يشدد عليهم

Ertinya : Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksakannya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai

Benar, perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk. Kerana itulah ulama haraki seperti Imam Hasan Al-Banna menyarankan agar kita maju ke depan dengan tugas dan usaha masing-masing, lalu satu kaedah yang amat baik dari Syeikh Rashid Redha dicadangkan :

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما نختلف فيه

Ertinya : "Kita bekerjasama dalam perkara yang telah kita sepakati, dan saling menguzurkan diri dari perkara yang diperbezakan"

Akhir sekali, HENTIKANLAH berbalah, kutuk mengutuk, fitnah memfitnah dan tangkap menangkap disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang berkelayakan. Ia mencemar imej Islam dan menjatuhkan keyakinan mad'u kita yang sebenar kepada Islam.

Firman Allah :-

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 26 )

Sekian

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP TUNTUTAN BIADAP SIS UNTUK MENGHAPUSKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH


Mohd. Najid Omar mewakili ABIM Negeri Perlis menyerahkan laporan kepada wakil JAIPs, Ustazah Sharifah Mazni Syed Mustaffa di Kompleks tersebut.

KANGAR - Satu memorandum telah dibuat oleh Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Perlis berhubung isu Kartika Sari Dewi Shukarno. Laporan memorandum tersebut telah dihantar baru-baru ini ( 23 Oktober 2009) kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) untuk diberi perhatian dan tindakan lanjut selaku badan berkuasa agama Islam di negeri ini.


Memorandum ini dibuat berikutan tindakan Pertubuhan Sisters in Islam dan Ngo yang bersekutu dengannya berterusan mengeluarkan kenyataan-kenyataan media yang bersifat provokasi bagi menghalang tindakan seorang pesalah untuk meneruskan hukuman sebat berasaskan syariah Islam yang telah diputuskan oleh beliau.

Wakil JAIPs, Ustazah Sharifah Mazni Syed Mustaffa dari Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAIPs telah menerima laporan tersebut yang diserahkan oleh Mohd. Najid Omar selaku Yang diPertua ABIM Negeri Perlis.

“ Sebenarnya laporan seumpama ini telah dibuat oleh ABIM dan rakan-rakan NGO Islam seluruh negara, tetapi ABIM negeri agak terlewat menyerahkannya disebabkan oleh faktor kekangan masa. Bagaimananapun alhamdulillah, hari ini kita telah berjaya menyampaikannya kepada pihak berkuasa dan berharap ianya dipandang serius disusuli tindakan-tindakan yang wajar.”ujar sdr. Mohd Najid ketika diminta mengulas perkara itu.

Latarbelakang isu ini bermula apabila satu kumpulan yang dinamakan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang disertai oleh SIS dan berberapa NGO telah menghantar satu memorandum kepada YAB Perdana Menteri bertajuk Justice For Kartika bertarikh 25 Ogos 2009 yang mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar dimansuhkan Undang-Undang Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri.

“Tindakan kumpulan ini dianggap biadap kerana antara lain cuba menceroboh kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara dan Negeri-Negeri serta perundangan Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan. Mereka juga cuba menyentuh dan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan dan secara tidak langsung telah menghina hukum Syarak yang sedang berkuatkuasa melalui Enakmen-Enakmen Negeri” tambah Mohd. Najid.

Sementara itu, Setiausahanya Mohd. Zamri Mat Alim berharap rakan-rakan NGO Islam yang lain khususnya di negeri ini agar turut sama tampil memberi desakan yang serupa sebagai tanda solidariti dan menyemai kesedaran serta keprihatinan terhadap masyarakat. Tindakan ini perlu dibuat bagi menentang usaha-usaha agresif SIS yang turut sama membentuk kumpulan mereka sendiri selain cuba mempengaruhi kerajaan agar undang-undang syariah dipandang rendah dan dilihat tidak bertamadun.

Saudara Kita memerlukan perhatian:
ZIARAH PRIHATIN KE RUMAH
EN. ADAM LEE ABDULLAH


Tarikh Ziarah: 18/10/09 (Ahad)
Jam: 6 – 7 petang

En. Adam Lee Abdullah merupakan seorang bapa tunggal yang bekerja sebagai peniaga buah-buahan di pasar malam sekitar Alor Setar. Beliau memeluk Islam sekitar tahun 2005 bersama 2 orang anak beliau. Nurhidayah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2009, bersekolah di SMK Arau dan Mohd Fitri 15 tahun seorang pelajar tercicir, kini bekerja membantu bapanya berniaga.

Isteri beliau tidak ikut serta memeluk Islam dan ini telah menyebabkan mereka berpisah. Kini mereka sekeluarga menyewa di sebuah rumah kampung  di Titi Besi, Arau dengan kadar sewa RM150 sebulan tidak termasuk bil air dan elektrik. Beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat ada memberi bantuan sebanyak RM100 sebulan untuk setiap orang anaknya. Satu-satunya kenderaan yang beliau miliki  adalah sebuah motorsikal EX5 yang digunakan untuk mengangkut buahan ke destinasi perniagaan setiap hari bersama anak lelakinya.


En. Adam Lee (tengah) begitu cekal mengharungi hidup dengan keteguhan iman biarpun diuji
dengan kehidupan yang serba kekurangan

Satu kunjungan pimpinan ABIM Negeri  telah dibuat oleh Sdr. Zamri, Sdr. Asri dan isteri, Pn. Siti Hajar. Turut serta adalah Ketua Helwa, Pn. Siti Haryani bagi melihat sendiri keadaan keluarga ini di samping menghulurkan sedikit bantuan bagi mengurangkan beban.

En. Adam bagaimanapun ada memberitahu bahawa beliau bukan mahu meminta-minta belas ehsan orang ramai. Tetapi atas rasa simpati, terpanggil untuk ABIM mewar-warkan perkara ini sebagai masalah umat yang perlu ditangani bersama.

Pihak kami turut mengalukan-alukan sumbangan anda yang prihatin. Sumbangan kewangan boleh disalurkan melalui akaun yang tertera di sebelah, dan elok sekiranya dimaklumkan kepada sekretariat jika anda ada membuat sumbangan untuk memudahkan rujukan.