MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP TUNTUTAN BIADAP SIS UNTUK MENGHAPUSKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH


Mohd. Najid Omar mewakili ABIM Negeri Perlis menyerahkan laporan kepada wakil JAIPs, Ustazah Sharifah Mazni Syed Mustaffa di Kompleks tersebut.

KANGAR - Satu memorandum telah dibuat oleh Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Perlis berhubung isu Kartika Sari Dewi Shukarno. Laporan memorandum tersebut telah dihantar baru-baru ini ( 23 Oktober 2009) kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) untuk diberi perhatian dan tindakan lanjut selaku badan berkuasa agama Islam di negeri ini.


Memorandum ini dibuat berikutan tindakan Pertubuhan Sisters in Islam dan Ngo yang bersekutu dengannya berterusan mengeluarkan kenyataan-kenyataan media yang bersifat provokasi bagi menghalang tindakan seorang pesalah untuk meneruskan hukuman sebat berasaskan syariah Islam yang telah diputuskan oleh beliau.

Wakil JAIPs, Ustazah Sharifah Mazni Syed Mustaffa dari Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAIPs telah menerima laporan tersebut yang diserahkan oleh Mohd. Najid Omar selaku Yang diPertua ABIM Negeri Perlis.

“ Sebenarnya laporan seumpama ini telah dibuat oleh ABIM dan rakan-rakan NGO Islam seluruh negara, tetapi ABIM negeri agak terlewat menyerahkannya disebabkan oleh faktor kekangan masa. Bagaimananapun alhamdulillah, hari ini kita telah berjaya menyampaikannya kepada pihak berkuasa dan berharap ianya dipandang serius disusuli tindakan-tindakan yang wajar.”ujar sdr. Mohd Najid ketika diminta mengulas perkara itu.

Latarbelakang isu ini bermula apabila satu kumpulan yang dinamakan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang disertai oleh SIS dan berberapa NGO telah menghantar satu memorandum kepada YAB Perdana Menteri bertajuk Justice For Kartika bertarikh 25 Ogos 2009 yang mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar dimansuhkan Undang-Undang Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri.

“Tindakan kumpulan ini dianggap biadap kerana antara lain cuba menceroboh kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara dan Negeri-Negeri serta perundangan Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan. Mereka juga cuba menyentuh dan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan dan secara tidak langsung telah menghina hukum Syarak yang sedang berkuatkuasa melalui Enakmen-Enakmen Negeri” tambah Mohd. Najid.

Sementara itu, Setiausahanya Mohd. Zamri Mat Alim berharap rakan-rakan NGO Islam yang lain khususnya di negeri ini agar turut sama tampil memberi desakan yang serupa sebagai tanda solidariti dan menyemai kesedaran serta keprihatinan terhadap masyarakat. Tindakan ini perlu dibuat bagi menentang usaha-usaha agresif SIS yang turut sama membentuk kumpulan mereka sendiri selain cuba mempengaruhi kerajaan agar undang-undang syariah dipandang rendah dan dilihat tidak bertamadun.

0 ulasan:

Catat Ulasan