MUSLIM TANPA SEMANGAT DAKWAH & JIHAD
MUSLIM YANG TIADA JATI DIRI

MENCEGAH kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan termasuk perjuangan menegakkan agama Allah. Umat Islam yang tidak pernah memperjuangkan agama hidup dalam keadaan sia-sia . SEORANG Muslim yang tidak memiliki semangat dakwah dan jihad bagi memperjuangkan agama, sebenarnya sedang mengalami krisis jati diri dan identiti Muslimnya. Untuk apa semua yang diusahakan, harta dikumpul, ilmu dikuasai, jawatan direbut dan dunia yang berhasil digenggam jika tidak dimanfaatkan untuk agama Allah? Seandainya seseorang sudah memiliki segala-galanya kemudian tiba-tiba dia mati tanpa memperjuangkan agama, maka alangkah sedikit bekal dan payahnya kehidupan yang mesti dilalui selepas mati kelak. Sia-sia saja visi dan misi hidupnya di dunia. Saat itu sedarlah ia yang kembali miskin seorang diri di alam barzakh.

...Usaha dakwah adalah tanggungjawab setiap individu muslim


Sesungguhnya kejayaan yang hakiki bermula daripada satu niat meninggikan kalimah Allah. Sedangkan apa yang diusahakannya selama ini untuk dunia semata-mata demi kepuasan nafsu belaka. Kebangkitan Islam sering diperkatakan tetapi realitinya generasi Islam kini sudah mengalami serangan duniawi yang sedikit sebanyak mempengaruhi kejiwaan, pemikiran dan sikap mereka. Mentaliti Muslim yang hilang semangat memperjuangkan agama semakin parah di tengah-tengah umat. Tidak kira golongan mana pun, jika umat meninggalkan dakwah dan jihad di jalan Allah, maka tunggu kehancuran seperti ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud:

“Wahai orang beriman, apakah sebabnya apabila
dikatakan kepadamu: Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah,
kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih suka dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan Dia menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
(Surah al-Taubah, ayat 38-39)


Melalui ayat itu, Allah menyatakan punca hilang semangat dakwah dan jihad iaitu kerana manusia terlalu cintakan kehidupan dunia. Bahkan jika boleh, agama pun akan dijual, saudara sesama Muslim dianiaya, jatuh-menjatuhkan, aib- mengaibkan untuk mendapat apa diinginkan oleh hawa nafsu.
Jika kejahatan bermaharajalela tetapi semangat dakwah dan jihad semakin kendur tidak mustahil kehancuran umat akan terjadi. Dakwah dan jihad adalah benteng paling kukuh untuk melindungi umat daripada serangan musuh. Sepatutnya ia menjadi idealisme yang wajib ditanam dalam jiwa seluruh generasi Muslim.

Sayangnya, dakwah Islam dan semangat jihad hanya dimiliki golongan tertentu yang berkopiah dan berserban, di masjid dan surau. Itupun jika tepat ruang yang disalurkan. Sedangkan golongan profesional, pemikir, penggubal dasar, penggerak politik, budayawan, seniman, ahli sukan, saintis, peniaga, pendidik Muslim, mereka agak kurang bersemangat mengenai hakikat dakwah dan jihad. Peranan ulama diharapkan boleh membuka ruang kepada mereka untuk memahami Islam, mencintai dan merasa terpanggil memperjuangkan agama menurut kapasiti ilmu dan kekuatan dimiliki. Umat Islam mesti kembali menanamkan idealisme tegakkan dakwah dan jihad dalam kehidupan. Hapuskan kesilapan lalu dan bertaubat daripada kejahatan nafsu duniawi yang menipu. Kerja dakwah serta strategi jihad mesti disesuaikan dengan situasi dan realiti masyarakat sekarang. Media memainkan peranan penting sebagai penyampai kebenaran, hiburan dan seni juga menjadi pilihan orang yang mahukan kelainan dalam sentuhan dakwah, alam maya dalam sistem teknologi maklumat tercanggih yang semakin digilai manusia menjadi alternatif menyampaikan keindahan Islam.

Ulama tidak ketinggalan mengkaji pendekatan dan pengurusan dakwah yang sesuai untuk manusia pada zaman siber. Pendekatan fleksibel, mendidik sebelum menghukum, mendengar suara umat dan mengkaji perubahan zaman sebelum memutuskan fatwa diharap membawa kemajuan adalah tugas ulama yang amanah. Ulama berdiri sebagai pembimbing jalan, pemberi jawapan atas setiap persoalan, doktor yang menyembuh penyakit jiwa masyarakat dan penyampai keindahan Islam yang membangkitkan umatnya supaya mencintai agama. Ulama memerlukan pendedahan ilmu dan wawasan yang lebih global dengan bermuzakarah antara ulama sedunia untuk mempertingkatkan keupayaan dalam mendampingi umat ke jalan yang diredai Allah.

Sesungguhnya dakwah dan jihad adalah panggilan jiwa insan yang mencintai sunnah Rasulullah SAW. Wasiat Baginda SAW sentiasa menjadi ingatan di hati yang bermaksud:

“Sesiapa yang membenci sunnahku bukan termasuk golonganku.”
(Hadis Muttafaq Alaih)
Dakwah dan jihad juga adalah kerjaya nabi dan rasul yang diabadikan dalam al-Quran sebagai jalan hidup terbaik di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud:

“(Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya
dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang beriman.
Wahai orang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah seperti Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikutnya yang setia: Siapakah yang akan menjadi penolongku (untuk menegakkan agama) Allah? Pengikut yang setia itu berkata: Kamilah penolong agama Allah, lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan lain kafir; maka kami berikan kekuatan kepada orang beriman terhadap musuh mereka, lalu mereka menjadi orang yang menang.”
(Surah al-Shaff, ayat 11-14)

Seseorang yang bergiat dalam kerja dakwah pasti menghadapi ujian yang boleh mengancam langkahnya. Ujian yang dipikul bersesuaian dengan tahap keimanan masing-masing. Kadangkala hanya dengan sifat diri yang kurang sabar seseorang boleh terjatuh dan tidak dapat bangkit lagi, walaupun ramai di hadapannya orang yang lebih berat lagi menerima penyeksaan dalam mengharungi medan dakwah dan jihad.


Hanya orang terpilih yang tegak berdiri menunggu keputusan Allah, apakah dia layak menerima pertolongan Allah atau tidak, semuanya bergantung niat dalam hati. Siapakah yang reda dengan hinaan dan cacian, fitnah, kebencian bahkan ancaman bunuh diterima kerana menegakkan agama? Hanya orang yang tegar dan yakin dengan kuasa Allah mampu menghadapi kesusahan di jalan-Nya. Biarlah air mata yang ditumpahkan atas jalan Allah sebagai pemadam api neraka yang menyala dan hati terluka, jasad teraniaya semua itu sebagai bukti kecintaan hamba kepada Allah. Bahkan jika tiada menemui gangguan di jalan dakwah, seseorang patut berwaspada mungkin dia tersalah jalan kerana jalan dakwah itu dapat dikenal melalui seksaan dan tangisannya.

Suatu hari Rasulullah SAW melepas pemergian Muaz Jabal ke Yaman untuk menyebarkan Islam di sana. Rasulullah SAW melihat Muaz menangis. Muaz berkata:
“Wahai Rasulullah, aku menangis kerana akan berpisah denganmu.
Rasulullah SAW bersabda: Jangan kamu bersedih kerana kesedihan itu daripada syaitan. Wahai Muaz, bertakwalah (takut) kepada Allah
di mana pun kamu berada. Ikutilah keburukan dengan kebaikan,
nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya dan berbuat baiklah
kepada manusia dengan akhlak yang baik.”
(Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Suatu hari Khabbab al-Art menghadap Rasulullah SAW dan mengadukan seksaan yang dideritainya dan sahabat. Rasulullah SAW menghibur Khabbab sambil bersabda yang bermaksud:

“Orang sebelum kalian digali sebuah lubang di atas tanah
dan mereka dimasukkan ke dalamnya. Selepas itu diambil gergaji
dan diletakkan ke atas kepalanya sehingga jasadnya terbelah dua.
Namun hal itu tidak menggoyahkan agamanya. Ada juga yang
disikat dengan sikat besi sehingga terlepas daging daripada tulangnya.
Tetapi seksaan itu tidak sedikitpun menggoncangkan agamanya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Hanya hamba Allah yang berkualiti iman dan amalnya sanggup melangkah di jalan dakwah. Mereka orang terpilih daripada kalangan nabi dan rasul, syuhada dan salihin. Dakwah dan jihad adalah harta warisan paling bernilai ditinggalkan mereka hingga akhir zaman untuk generasi Islam berikutnya.


- Dr. Juanda Jaya
Mufti Negeri Perlis
5 Mac 2009




Saudara-saudaraku di PALESTIN,

Tiada perkataan lain seperti yang dulu juga aku mampu katakan -BERSABARLAH! KERANA BERSAMAMU HANYALAH ALLAH AZZA WAJALA SAHAJA YANG MAMPU MEMBANTUMU.


Kami disini sedang mempersiapkan umat yang sedang lumpuh - juga kerana serangan mereka sehingga kami sekadar mampu berdoa dan membuat-buat BERANI(?) dari jauh.


Mungkin ini juga usaha kami yang terbaik dari pada membenarkan mereka menggunakan kekayaan kami untuk menzalimimu! BOIKOT!! Itupun jika dikalangan kami

tak mampu hidup

tanpa menjadi

TALIBARUT

mereka!

Selesaikan Polemik PPSMI Dengan Segera
(10 Mac 2009 / 13 Rabiul Awal 1430)



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik kenyataan Y.A.B Perdana Menteri,
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang ingin keputusan muktamad berkenaan dengan Pembelajaran serta Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diselesaikan dengan secepat mungkin. Ini memandangkan telah banyak kajian serta perbincangan yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai keberkesanan PPSMI semenjak ia mula dilaksanakan pada tahun 2003 dahulu. Dalam hal ini, ABIM menilai bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperolehi asas yang kuat untuk membuat keputusan berkenaan dengan PPSMI dalam masa terdekat.

Merujuk kepada hujah-hujah yang dikemukakan menerusi kajian-kajian yang dilakukan serta perbincangan-perbincangan yang dilakukan di kalangan tokoh-tokoh akademik serta bahasa, ABIM merasakan amatlah wajar untuk KPM memansuhkan PPSMI samasekali, kerana ia tidak menunjukkan sebarang perubahan yang positif serta nyata. ABIM juga ingin melahirkan perasaan kesalnya ke atas tindakan kasar pihak berkenaan ke atas tokoh-tokoh bahasa terutama sekali Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pada 7 Mac yang lalu, kerana ia seakan tidak menghormati kedudukan serta status mereka selaku ahli bahasa ataupun pakar dalam bidang berkenaan.

DEMI KEBENARAN DAN KEADILAN
YUSRI MOHAMAD
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Salam Maulidur Rasul 1430H

Baginda telah meninggalkan kita dari jasadnya yang mulia, tetapi sejarah perjuangan sentiasa segar dan membara. Selaku dai'e dan pengggerak usaha-usaha dakwah, meneruskan perjuangan baginda pada ketika zaman kebejatan hampir tiba ke kemuncaknya bukanlah sesuatu yang mudah dan enteng dipandang.

Beranggapan kita berhadapan situasi sukar sebenarnya tidak adil kerana setiap zaman sudah ditentukan ranjau-ranjau perjuangannya. Kesukaran dan ujian yang diterima oleh baginda Rasulullah jauh lebih perit untuk diceritakan, cuma bagi kita kenangan sentiasa kembali diwar-warkan agar kita tidak sesekali lupa. Mehnah dan tribulasi yang didepani baginda dan juga para sahabat bukan sebarang mahkluk yang mampu menghadapi apatah lagi untuk bertahan!

Hari ini, perjuangan baginda akan kita teruskan dengan doa dan iltizam semoga Allah SWT memberi kekuatan aqidah, iman dan akhlak berterusan sehingga tiba masanya untuk kita kembali ke pangkuanNya. Strategi dan perancangan yang ampuh lagi tersusun wajar dipertingkatkan. Uslub perlu bersesuaian.

Memang, perjuangan ini adalah jalan para mujahid dan muttaqin berserta dengannya adalah harga yang cukup tinggi untuk dibayar!

MENDIRI GENERASI SALAHUDDIN AL AYYUBI KURUN MUTAKHIR



28 Februari 2009 - Satu program ziarah pimpinan Pusat ke wilayah utara telah tiba di Perlis. Siri ziarah ini juga membawa gambaran terkini isu-isu kesengsaraan saudara kita di Gaza, Palestin yang terus diperjuangkan oleh ABIM khususnya. Program ini telah diadakan di Masjid As-Syakirin, Mata Ayer yang bermula selepas solat maghrib. Timbalan Presiden, Dr. Farid Shahran dan Setiausaha Kewangan, Sdr. Shaiful Alwi memberi kupasan isu tersebut melalui ceramah dan tayangan multimedia untuk tatapan jemaah.



Dalam majlis ini Dr. Farid turut membangkitkan soal kesungguhan usaha mengembalikan tanah Al-Aqsa ini bukanlah kerja yang bersifat ad-hoc di kalangan umat tetapi memerlukan reformasi yang berterusan dalam segenap aspek kehidupan mukmin. Beliau merujuk kepada buku 'Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Quds ke Pangkuan Islam' tulisan Dr. Majid Irsan Kailani yang mengkaji kelahiran generasi Salahudin dan pejuang seangkatannya melalui proses yang panjang sebelum bermulanya arus kebangkitan tersebut.