Harga Baru Bahan Bakar:
ABIM Minta Ia Diperhalusi Semula

Kenyataan Media 2 September 2009/ 12 Ramadhan 1430 H 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat pengumuman harga bahan bakar baru, Ron 95, memandangkan ia dinilai membebankan pengguna bahan bakar berkenaan. Walaupun pada dasarnya, pengenalan petrol jenis baru Ron 95 sebagai alternatif pilihan kepada RON 97, ABIM yakin dengan ini pengguna dapat membuat pilihan bahan bakar mana yang sebaiknya untuk keperluan seharian mereka, akan tetapi pengenalan harga bahan bakar yang diumumkan kelmarin, dikhuatiri telah mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia, yang menerima kesan secara langsung daripada kenaikan harga bahan bakar tersebut.

Dalam hal ini, perubahan ataupun kenaikan harga sesebuah barangan perlu dilakukan secara serta merta jika dibandingkan dengan penurunan harga barangan. Malah ABIM merasakan pada saat majoriti rakyat Malaysia akan menyambut hari perayaan terbesar umat Islam, kenaikan harga bahan bakar ini akan menyebabkan bertambahnya kos perbelanjaan rakyat Malaysia. Perlu diingat bahawa sebarang perubahan di dalam harga bahan bakar ini akan mempengaruhi pergerakan harga barangan lain di pasaran.

Ini secara langsung menghimpit majoriti masyarakat yang telah pun mengalami kesan langsung akibat krisis ekonomi yang melanda dunia. Malah tindakan ini juga jauh menyimpang daripada matlamat yang ingin dicapai menerusi kempen penurunan harga barangan, yang hingga ke saat, ini masih giat dijalankan dan masih belum lagi mencapai kenyataan.

Atas dasar keprihatinan untuk menyuarakan kepentingan umum, ABIM mencadangkan agar kerajaan:

1. Mengekalkan harga bahan bakar sedia ada (RON 97) pada harga sebelumnya.

2. Pengenalan kepada harga bahan bakar baru ini (RON 95) perlu lebih rendah berbanding dengan harga bahan bakar RON 97.

3. Memastikan bekalan dan kebolehcapaian kepada bahan bakar baru (RON 95) boleh didapati di seluruh pelusuk Negara termasuk di kawasan luar bandar terutama sekali di kawasan pedalaman Sabah & Sarawak.

4. Sebarang perubahan harga barangan asasi perlu mengambil masa serta tidak perlu dilaksanakan secara terburu-buru.

5. Memastikan dengan tegas dan efektif agar tidak ada peniaga, pemborong dan pengilang yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan lain, akibat daripada perubahan harga bahan bakar berkenaan.
 


"MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN"

AHMAD SAPARUDIN YUSUP
Naib Pres. Kebangsaan


Perutusan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke 52: Masyarakat Malaysia Perlu Sahut Seruan Membina Masyarakat Yang Bersatu Padu Dan Harmoni
KENYATAAN MEDIA - 1 SEPTEMBER 2009 / 11 RAMADHAN 1430H
Negara kita Malaysia telah menyambut ulangtahun kemerdekaan kali ke 52 dalam suasana sederhana tetapi meriah dan patriotik pada 31 Ogos 2009 yang lalu. Di dalam banyak pengucapan para pemimpin negara bersempena tahun kemerdekaan ini, tuntutan untuk semua rakyat Malaysia bersama-sama membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni telah ditekankan menerusi kerangka gagasan Satu Malaysia. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selaku sebuah pertubuhan yang mewakili golongan belia Islam di negara ini ingin menyeru seluruh masyarakat Malaysia menyahut seruan ini.

Masyarakat Malaysia boleh menyumbang di dalam usaha pembentukan negara Malaysia yang bersatu padu menerusi beberapa langkah. Pertama ialah dengan memahami dan menghayati kembali sejarah pembentukan negara ini. Hal ini menuntut masyarakat Malaysia meningkatkan bacaan dan kajian terhadap susur galur perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi perspektif yang menyeluruh. Menerusi pembacaan dan pengkajian ini, masyarakat Malaysia tentu akan terdedah dengan latar kehidupan negara sebelum kemerdekaan, memahami liku-liku di dalam proses mencapai kemerdekaan, mengenali tokoh-tokoh penjuang kemerdekaan dari segenap kumpulan masyarakat dan kaum serta memahami asas-asas permuafakatan antara kaum-kaum di negara ini yang telah membawa kepada kemerdekaan negara.

Langkah kedua ialah dengan mempertingkatkan hubungan dan pergaulan antara kaum di negara ini. Sebagaimana yang kita sedia ketahui, masyarakat kita tergolong kepada beberapa kelompok kaum yang terdiri dari kalangan masyarakat Melayu, Cina, India, Bumiputra Sabah dan Sarawak dan masyarakat Orang Asli. Kepelbagaian masyarakat Malaysia ini perlu dijalin secara kukuh dan berterusan. Peningkatan hubungan dan pergaulan menerusi pelbagai cara yang sesuai dan wajar antara pelbagai kaum boleh menghilangkan jurang dan tembok pemisah yang banyak disaluti oleh kepentingan kelompok. Di samping kita terus mengekalkan identiti kelompok yang kita warisi, masyarakat Malaysia hendaklah bersatu di atas semangat kenegaraan sebagai ‘’Anak Malaysia’’.

Langkah ketiga ialah menerusi peningkatan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. ABIM ingin menyeru seluruh masyarakat Malaysia supaya meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan samada dari aspek kefahaman dan pertuturan. Ini kerana bahasa Melayu ialah bahasa penghubung antara kita semua. Sekiranya masyarakat Malaysia tidak berkongsi satu bahasa pengantaraan yang sama, kita semua tidak akan dapat berkongsi perasaan kecintaan kepada negara dan tidak mungkin akan dapat menghayati cita-cita perjuangan yang sama sebagai anak Malaysia.

Bersempena dengan sambutan kemerdekaan tahun ini, ABIM ingin menyeru semua pihak supaya terus gigih dan ikhlas di dalam membina negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Ini dapat diterjemahkan sekiranya semua pihak menghormati rukun negara dan prinsip keadilan dan kehormatan insan sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Merdeka ke-52
"MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN"
MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden

0 ulasan:

Catat Ulasan